BUKIT MERTAJAM – Polis bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi
proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh esok,
kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata polis mempunyai pegawai dan anggota yang mencukupi
untuk menjalankan tugas bagi memastikan proses pengundian lancar dan
aman.
“Tujuan saya berada di sini (Permatang Pauh) hari ini adalah untuk
meninjau persiapan terakhir menjelang hari mengundi esok. Sejak hari
penamaan calon pada 25 April lepas hingga hari ini, saya berpuas hati
dengan perjalanan kempen PRK Permatang Pauh.
“Selain itu, polis juga bersiap sedia untuk menghadapi sebarang
kemungkinan termasuk mengelak kekecohan bagi memastikan keadaan terkawal
esok. Anggota kami ditempatkan di semua lokasi yang sepatutnya untuk
melancarkan trafik dan proses pengundian,” katanya dalam sidang akhbar
di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di sini,
hari ini.
Menurutnya polis juga menerima 91 laporan berkaitan salah laku
pilihan raya dan telah membuka lapan kertas siasatan bagi PRK Parlimen
Permatang Pauh sejak hari penamaan calon hingga hari ini.
“Lapan kertas siasatan yang dibuka itu berkaitan perbuatan khianat
iaitu merosakkan kain rentang dan papan iklan calon, ahli sebuah parti
politik dicederakan, mencuri pembesar suara dan mengadakan ceramah tanpa
permit. Setakat ini tiada ceramah yang diadakan berbaur hasutan yang
melampau.
“Boleh dikatakan sepanjang tempoh berkempen ini, keadaan aman dan
terkawal. Saya harap hari mengundi esok tidak ada perkara yang boleh
mengganggu gugat ketenteraman orang ramai untuk keluar mengundi,” kata
Khalid.
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak
(Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri
Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan
kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. –
BERNAMA