KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek menyifatkan tindakan sebuah portal
berita yang memutar-belit kenyataan beliau semasa berkempen di Rompin
baru-baru ini sebagai ‘menangguk di air keruh’.
Katanya portal berita itu juga cuba menjadi batu api di tengah-tengah
kehangatan pilihan raya kecil (PRK) Rompin, yang pengundiannya
berlangsung hari ini.
“Sekiranya kenyataan saya diambil sepotong atau sekerat-sekerat sudah
tentu ia akan menimbulkan satu kenyataan yang kurang senang dibaca.
“Dengan tajuk yang kononnya saya menyatakan bahawa pengundi Rompin
boleh terima cukai barang dan perkhidmatan (CBP) saya anggap ia adalah
satu ‘spin’ (putar-belit) yang berniat jahat.
“Langsung dalam laporan berita itu tidak menyebut kenyataan saya dalam konteks sepenuhnya iaitu:
*Saya akui bahawa pada awalnya terdapat banyak kekeliruan dalam
kalangan rakyat mengenai CBP dari segi pelaksanaan. Malah saya juga akui
ada kelemahan daripada pihak kerajaan dalam pelaksanaan khususnya pada
permulaan pelaksanaan.
*Kekeliruan ini ditambah lagi dengan persepsi salah yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.
*Namun kita dapati persepsi rakyat sudah mula teralih kepada
tanggungjawab rakyat dalam menggunakan kuasa pengguna untuk memilih
barangan serta perniagaan menawarkan harga yang baik.
*Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
memandang isu ini dalam pandangan yang lebih positif memandangkan
kementerian melancarkan pelbagai inisiatif seperti Pusat Gerakan Anti
Pencatutan, aplikasi MyKira dan Ez-Adu serta penerbitan buku panduan
harga.
*Kita mendapati pemahaman rakyat tentang GST itu adalah lebih baik
dari mula-mula ia dilaksanakan kerana timbulnya kesedaran mengenai isu
ini. “Itu yang dimaksudkan penerimaan yang lebih baik.
“Tidak pernah saya menyatakan bahawa PRK Rompin sebagai satu tanda
aras atau mandat rakyat untuk terima atau menyokong CBP kerana keputusan
undi bukan terletak pada satu isu semata-mata,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Pada 3 Mei lepas, portal berita berkenaan memetik kenyataan Hasan
bahawa beliau percaya pengundi-pengundi di kawasan Parlimen Rompin
menerima baik pelaksanaan CBP dan menyuarakan keyakinan Barisan Nasional
(BN) akan memenangi PRK itu.
Hasan berkata sebelum ini, portal berita berkenaan juga memutar-belit
kenyataan penuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul
Wahid Omar menjadi sebuah cerita sensasi yang langsung tidak
menggambarkan kenyataan sebenar.
“Mereka (portal berita) ini jugalah dalang yang sama memfitnah Majlis
Raja-Raja Melayu dalam isu hudud dengan sesuka hati membuat laporan
tanpa sumber atau rujukan sahih,” kata Hasan. – BERNAMA