#PRKPermatangPauh: Demo PAS 1 Mei Kejut PKR, Nafi Kenyataan Mat Sabu

PERMATANG PAUH - Nampaknya seolah strategi propaganda politik Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan beberapa pemimpin PAS di pentas kempen Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh gagal apabila akar umbi parti itu bangkit menunjukkan protes mereka terhadap calon Pakatan Rakyat di sini sebentar tadi.

Selesai solat Jumaat sebentar tadi, para penyokong PAS yang menjadi nadi perjuangan parti itu di Permatang Pauh bertindak melakukan demonstrasi di depan Masjid Kampung Batu sebagai tanda protes dan memboikot calon PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Berdiri di atas lori di depan masjid berkenaan, mereka mengecam sikap angkuh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang enggan memohon maaf atas keceluparan mereka menghina dan berlaku biadap terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mereka turut menegaskan bahawa mereka tetap dengan prinsip perjuangan untuk menyokong usaha perlaksanaan hudud oleh PAS dan tegas berikrar akan menolak Wan Azizah sebagai calon PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

"Kami menyokong mana-mana individu yang menyokong rang undang-undang enakmen jenayah syariah yang dibentangkan oleh Presiden kami.. Inilah yang kami harapkan.. Bukan sekadar MAKI..!!!

"Tapi biadapnya Keadilan (PKR) ini tidak memohon maaf.. biadapnya DAP ini tidak memohon maaf.. Inikah Pakatan Rakyat?!," jerit wakil demonstran yang disambut dengan laungan takbir, "Allahu Akbar".

Justeru itu, mereka menggesa para pengundi di Permatang Pauh untuk menilai sendiri prinsip perjuangan PAS yang seolah tercemar dengan pendirian tegar PKR yang menolak usaha melaksanakan hukum Allah.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sebelum ini mendakwa masalah PAS di Permatang Pauh selesai apabila beliau dikatakan berjaya "memaksa" PAS Kawasan itu dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk menarik balik kenyataan mereka untuk memboikot PRK di sini.

Kira-kira lebih 100 penyokong PAS yang berdemonstrasi itu diketuai oleh Azmi Jaafar yang merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Bagan juga menuntut DAP dan PKR agar tidak masuk campur urusan PAS.

PAS Kawasan Permatang Pauh dan Dewan Pemuda PAS Negeri itu memboikot PRK Permatang Pauh ekoran keengganan AMK Pulau Pinang untuk memohon maaf dan tidak mahu berubah pendirian menyokong enakmen hudud yang dibentang Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Selain itu, mereka turut menyindir pedas khatib solat Jumaat yang menyampaikan khutbah "politik" menyokong Wan Azizah di masjid berkenaan hari ini.

"Kami yakin dan percaya Allah bersama-sama kami.. kami ambil kesempatan pada hari ini (untuk berdemonstrasi protes).. walaupun mimbar hari ini penyokong Wan Azizah!," katanya dan sekali lagi disambut dengan laungan takbir oleh penyokong PAS yang hadir.

Kemudian, para demonstran itu melaungkan laungan semangat yang dijangka bakal memeningkan kepala para kepimpinan PAS yang terlibat di PRK Permatang Pauh kali ini.

"Hidup hidup... hidup Islam! Hancur hancur.. hancur Keadilan (PKR)! Hancur hancur.. hancur DAP!," laung mereka sebelum bersurai. -Kedahnews.com