#PRKPermatangPauh: "Jangan Haraplah.. " - Mukhriz Mahathir

PERMATANG PAUH - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan kepada pihak pembangkang supaya jangan bermimpi bapanya akan menyokong Pakatan Rakyat atau bersama pakatan pembangkang itu dalam sebarang isu.

Kata Mukhriz, meskipun mengkritik kerajaan, namun bapanya itu masih yakin pada Barisan Nasional (BN) dan mahu parti kerajaan itu menang di Pilihanraya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan oleh anak beliau yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu sidang media di Tanah Liat, Permatang Pauh, Pulau Pinang sebentar tadi.

“Kalau kita lihat kepada kenyataan-kenyataannya, beliau masih berharap yang BN akan menang pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Rompin.

“Apa-apa kenyataan dan teguran yang beliau lakukan sekalipun, ia untuk kebaikan UMNO dan BN. Tak timbul langsung isu Tun Mahathir menyokong pembangkang.

“Jadi jangan haraplah dia akan menyokong Pakatan Rakyat,” kata Mukhriz ketika beramah mesra dengan para penduduk di Tanah Liat, di sini sebentar tadi.


Beliau berkata demikian setelah diajukan soalan tentang segelintir pihak yang menggelar Tun M ‘Ketua Pembangkang tidak rasmi’ kerana kelantangannya menyatakan pandangan terhadap pucuk pimpinan BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.