Pusat Perlindungan Ala Kampus Di Kompleks Darul Kifayah

MELANGKAH masuk ke perkarangan Kompleks Darul Kifayah, Gombak pastinya akan membuatkan pengunjung yang baharu pertama kali datang ke pusat penempatan dan perlindungan asnaf dan anak yatim itu terkejut.

Memiliki kemudahan yang lengkap dengan persekitaran yang luas dan selesa, siapa menyangka kompleks yang terletak di Taman Koperasi Polis II, Gombak itu merupakan pusat pelindungan awam yang disediakan kepada golongan kurang bernasib baik.

Mempunyai keluasan seluas 22 hektar, pelbagai kemudahan disediakan bagi kegunaan penghuni termasuk perpustakaan, makmal komputer, surau, dewan makan, tempat beriadah dan kelengkapan asrama.

Namun, begitulah prasarana yang disediakan kepada anak yatim dan asnaf terutamanya bagi golongan fakir dan miskin di Wilayah Persekutuan bagi memastikan tiada keciciran seperti kanak-kanak lain daripada mendapatkan pendidikan dengan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Malah, segala kos sara hidup dan pelajaran turut disediakan kepada setiap pelajar oleh pihak Darul Kifayah yang dibiayai Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) itu sehingga tamat persekolahan.

Bagaimanapun, pengetua Darul Kifayah, Aspalela Hasan berkata, bukan kemewahan yang ingin diberikan kepada penghuni, tetapi lebih memfokuskan kepada kemudahan serta keselesaan pelajar untuk belajar.

Usaha itu tambahnya, dititikberatkan bertepatan dengan misi dan hala tuju Darul Kifayah untuk melahirkan golongan asnaf yang berjaya di dunia dan di akhirat menerusi pencapaian prestasi pendidikan yang cemerlang.

“Darul Kifayah bukan sekadar pusat penempatan bagi asnaf dan golongan fakir miskin, tetapi juga merupakan pusat pembangunan insan bagi menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran kepada penghuni untuk meningkatkan prestasi pendidikan mereka.

“Terdapat tiga aspek yang ditekan kepada penghuni iaitu, disiplin, agama dan pencapaian pendidikan. Mempunyai sebanyak lapan warden yang dipertanggungjawabkan, hal ehwal penghuni akan dipantau dengan menetapkan jadual harian yang perlu dipatuhi.

“Selain itu, kita juga menggunakan khidmat tenaga pakar dari luar dalam pelbagai bidang termasuk motivasi untuk memberi galakan dan tunjuk ajar kepada penghuni di Darul Kifayah ini secara berkala,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.


Langkah itu katanya, diambil dalam usaha melahirkan penghuni dalam kalangan asnaf dan anak yatim yang berdaya saing dan mampu berdikari untuk keluar daripada kepompong kemiskinan selepas tamat persekolahan.

“Malah sepanjang tahun, Darul Kifayah telah merangka program-program bagi pelajar seperti kuliah agama, perkhemahan, karnival sukan, kursus motivasi, pertandingan nasyid serta lawatan sambil belajar.

“Program ini bertujuan melatih penghuni dalam bidang akademik, kepimpinan, kesenian, di samping mampu membina jati diri dan sahsiah tinggi,” ujarnya.

Darul Kifayah kini menempatkan seramai 350 penghuni dengan seramai 182 wanita dan 168 lelaki berumur 11 hingga 17 tahun di seluruh negara.

Mula ditubuhkan pada 1981, usaha pembelaan terhadap anak-anak yatim yang dimulakan oleh Jawatankuasa Kebajikan Masjid al-Firdaus telah diserahkan kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum membentuk jawatankuasa Darul Kifayah pada 1987.

Perasmian Kompleks Darul Kifayah telah disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Muhammad pada 1996 di Kampung Baru, Jalan Ipoh sebelum berpindah ke lokasi baharu sehingga kini pada 2007.

Mengubah nasib
Mempunyai latar belakang yang kurang bernasib baik, penubuhan Darul Kifayah turut memfokuskan untuk membantu golongan asnaf dan anak yatim tersebut untuk mengubah nasib memperoleh kehidupan yang lebih baik.

“Kita berharap segala kemudahan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan oleh golongan asnaf dan anak yatim yang berada di Darul Kifayah ini untuk lebih bersemangat berusaha dan berjaya dalam hidup.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik seperti orang lain di luar.

“Bagi pihak Darul Kifayah dan MAIWP sendiri mengambil inisiatif memberikan peluang pekerjaan kepada pelajar yang layak bagi menyediakan masa depan mereka yang lebih cerah,” katanya.

Bukan sahaja dibiayai sepenuhnya, Aspalela berkata, bantuan lain turut disediakan kepada penghuni termasuk pengangkutan ke sekolah, kelas tambahan, kelas al-Quran dan fardu ain, bantuan perubatan dan pakaian hari raya dengan percuma.

“Darul Kifayah hanya menyediakan penginapan dan keperluan belajar kepada penghuni, oleh itu penghuni akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah terpilih berhampiran. Untuk kemudahan ini, kita menyediakan beberapa buah bas untuk menghantar dan mengambil penghuni pergi dan pulang dari sekolah.

“Sebuah makmal komputer turut disediakan untuk kegunaan penghuni supaya tidak ketinggalan dan celek teknologi maklymat (IT).

“Manakala, dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar dalam akademik, Darul Kifayah telah melantik beberapa guru daripada luar untuk memberikan kelas tambahan kepada penghuni.

“Dalam aspek kesihatan pula, penghuni yang memerlukan rawatan perubatan akan menerima rawatan sama ada di Hospital Pusrawi yang merupakan hospital anak syarikat MAIWP atau mana-mana klinik dan hospital kerajaan terpilih,” jelasnya.

Sebahagian besar daripada kemudahan itu tambahnya, merupakan peruntukan daripada agihan zakat daripada Baitulmal, MAIWP selain sumbangan daripada orang ramai.

Sumber: Utusan