"Raja Bomoh" Akan Minta Sultan Nazrin Tamat Khidmat Harussani

"Raja Bomoh", Datuk Ibrahim Mat Zin
ALOR SETAR - Datuk Ibrahim Mat Zin dilapor akan meminta Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk menamatkan khidmat Tan Sri Harussani Zakaria ekoran dakwaan Mufti Perak itu yang mendakwa "Raja Bomoh" itu sebagai sesat.

Menegaskan dia akan membuat satu laporan polis terhadap Mufti berkenaan, Ibrahim mempersoal tindakan Harussani yang dikatakan menjejaskan imejnya sebagai pemimpin di mata masyarakat.

"Saya akan buat laporan polis. Ini maruah saya. Saya ada keluarga, saya seorang usahawan dan saya pemimpin sebuah persatuan silat, mengapa saya diperlakukan sedemikian? Beliau suka mengacau orang kerana mahukan publisiti.

"Saya sedia dipanggil pada bila-bila masa oleh mana-mana pihak. Cuma saya minta sultan tamatkan perkhidmatannya, dan ambil orang lain jadi mufti," kata Ibrahim.

Difahamkan bahawa Mufti Perak dihubungi pihak media sebelum ini dan meminta ulasan tokoh ulama itu mengenai status Ibrahim yang dikatakan mengamalkan amalan khurafat dan tahyul sehingga mampu mengelirukan umat Islam di negara ini.

Harussani dalam menjawab persoalan media itu menjelaskan bahawa amalan yang dilakukan "Raja Bomoh" itu telah menyalahi ajaran Islam sebenar dan bakal diwartakan sebagai sesat tidak lama lagi oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan tarikh sebenar pewartaan tersebut memandangkan ia memerlukan beberapa proses tertentu sebelum diwartakan.

"Saya minta beliau jangan tohmah saya sebarangan. Jangan memfitnah saya. Jangan biarkan saya memberontak dan jangan berdendam dengan saya.

"Saya menghormatinya sebagai Mufti tetapi saya tak akan jumpa dia kerana saya tidak bersalah dan perkara yang dicakapkannya itu tidak betul, saya tidak takut dengan dakwaannya," kata Ibrahim yang dipetik dari sebuah portal, baru-baru ini.

Ibrahim berhujah, segala peralatan yang dia gunakan dalam ritual-ritual yang dijalankan olehnya hanyalah simbolik semata-mata dan "tidak menyalahi hukum-hakam" agama Islam.

"Alat-alatan yang saya gunakan itu hanya simbolik sahaja bukan syirik atau khurafat. Kalau nak cerita ustaz lagi syirik tangkap jin tapi tak nampak," ujarnya mempertahan diri dari dituduh sebagai sesat. -Kedahnews.com