KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
menasihatkan golongan saudara baru supaya bersusaha meningkatkan
keimanan mereka agar kekal dalam Islam.
Baginda bertitah ini kerana sejak kebelakangan ini wujud pelbagai
bentuk dakyah dan pengaruh yang cuba melemahkan umat Islam khususnya
mereka yang baru memeluk Islam supaya kembali kepada agama asal mereka.
“Namun saya yakin selagi saudara-saudara baru menguatkan iman, mereka
tidak mungkin dapat mempengaruhi tuan-tuan dengan dakyah mereka,” titah
baginda semasa menutup Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan
2015 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan kerajaan negeri
Perlis di sini hari ini.
Konvensyen itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Negeri Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
Perlis, Institut Wasatiyyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri dan
Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.
Seramai 800 saudara baru menyertai konvensyen dua hari itu yang
ceramahnya disampaikan antara lain Timbalan Pengarah Institut Wasatiyyah
Malaysia, Dr Mushaddad Hasbullah dan Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd
Asri Zainul Abidin.
Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah agar saudara baru mengekalkan
hubungan baik dengan ibu bapa dan saudara mara mereka yang bukan Islam
selagi tidak ia tidak menyentuh soal akidah, kepercayaan dan hukum halal
haram.
Baginda bertitah agar saudara baru mendisiplinkan diri dan menjaga
keislaman masing-masing untuk mendapat keredaan Allah dan jangan mudah
terpengaruh dengan anasir yang mahu menggugat keimanan dan aqidah
mereka.
Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil
Khir Baharom mengingatkan umat Islam termasuk saudara baru agar tidak
terpengaruh dengan kumpulan yang mahu merosakkan akidah mereka khususnya
kumpulan pengganas IS.
Konvensyen tersebut merupakan susulan konvensyen di Wilayah
Persekutuan pada 2008 dan 2009, Terengganu (2001), Kelantan (2013) dan
Johor (2014).
Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah
Tengku Abdul Rashid; Raja Muda, Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail dan
Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin menyampaikan Anugerah Saudara Muslim Cemerlang
2015 kepada Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah dari Pahang sementara Raja
Perempuan menyampaikan anugerah kepada penerima wanita iaitu Norasikin
Ong Abdullah dari Kelantan.
Mereka masing-masing menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai RM5,000. – BERNAMA