Rakan Muda Kuala Kedah Cadang Khidmat Masyarakat Untuk Cegah Dadah

ALOR SETAR - Aktiviti berbentuk khidmat masyarakat mampu mengisi masa lapang dan menangani masalah ketagihan dadah dalam kalangan belia di Kuala Kedah.

Pengerusi Kelab Rakan Muda Kuala Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, belia boleh mengisi masa terluang dengan aktiviti lain dan bukannya menggunakan masa yang ada untuk menagih dadah.

"Malah, dalam kes janda muda beranak satu ditahan baru-baru ini, dia sepatutnya sedar mengenai masa depan anaknya sekiranya terus menagih," katanya ketika mengulas alasan golongan belia termasuklah wanita yang menagih dadah kerana bosan.

Menurutnya, bayangkan kebajikan pendidikan, kesihatan dan kebajikan si anak terabai hanya disebabkan si ibu tidak mampu menjaga mereka dengan baik kerana menagih.

"Beberapa faktor lain seperti pengaruh rakan dan kekurangan iman menyebabkan sebilangan belia mudah terpengaruh.

"Mereka perlulah mendekatkan diri dengan ALLAH SWT dan masyarakat setempat supaya tidak mudah terjebak dengan perkara tidak sihat," katanya.

Malah katanya, pihaknya juga menganjurkan beberapa aktiviti seperti gotong-royong untuk membersihkan lokasi penagihan dadah sekali gus menghalang masalah itu menular.

Minggu lalu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah melakukan operasi membersihkan port penagihan dadah di tujuh lokasi berbeza di Kuala Kedah.

Dalam serbuan berkenaan, tiga janda muda termasuklah seorang beranak satu antara ditahan anggota penguatkuasa AADK kerana disyaki menghisap dadah.

Ketika disoal, janda dikenali sebagai Sha, 22, yang memiliki seorang anak berusia lima tahun mendakwa dia menghisap dadah bagi menghilangkan kebosanan.

Manakala, rakannya yang juga janda memaklumkan dia menghisap dadah atas dasar seronok-seronok tanpa pengetahuan ahli keluarganya.
 
Sumber: Sinar Harian