BUKIT MERTAJAM – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencipta sejarah baharu dengan
memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7
Mei ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata
keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan dan penerimaan daripada
pengundi Permatang Pauh terhadap parti itu yang dilihat semakin
meningkat sepanjang program turun padang yang dianjurkan.
“Tanda-tanda (kemenangan) itu ada. Rata-rata orang kampung yang saya
temui pada program walkabout (tinjauan mesra) menyatakan datuk seri
jangan bimbang sangat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
majlis pemimpin bersama usahawan bumiputera Pulau Pinang, di sini hari
ini.
Beliau berkata selain itu isu-isu berbangkit yang membelenggu Pakatan
Rakyat juga menyumbang kepada peningkatan sokongan itu memandangkan ada
dalam kalangan pengundi sudah mula tidak mempercayai parti-parti dalam
pakatan pembangkang.
“Kita dapat melihat bagaimana pihak lawan dalam keadaan agak
bercelaru di antara parti PKR dan PAS, PAS dan DAP nampak ketara jentera
mereka tidak selari.
Saya yakin ini merupakan petunjuk bahawa pengundi nak cari parti, sokong parti yang bersatu iaitu Barisan Nasional,” katanya.
Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata pengundi di
Permatang Pauh mahukan seorang wakil rakyat yang amanah, konsisten dan
fokus dalam memperjuangkan nasib penduduk di kawasan itu.
Katanya calon BN bagi PRK Permatang Pauh Suhaimi Sabudin mampu
memikul tanggungjawab itu dengan baik kerana beliau merupakan anak
tempatan yang akan sentiasa berada di kawasan Parlimen itu setiap masa.
“Apa yang penting mendampingi para pengundi dan menemui mereka
seramai yang mungkin, engage with them (dampingi mereka). Kita yakin
dengan adanya pelancaran manifesto BN, ini menampakkan komitmen calon
kita dalam membantu masyarakat di peringkat Permatang Pauh.
“Ia terbukti bahawa beliau mempunyai hasrat, niat dan cita-cita
sebagai anak watan Permatang Pauh untuk membela dalam bidang
keusahawanan, pendidikan dan kesihatan.
Insya-Allah kalau diberi amanah, saya yakin kerana beliau biasa
kerja, rajin kerja selaku Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh,”
katanya.
PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara Suhaimi, Dr Wan Azizah (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat
Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan setelah disabitkan kesalahan liwat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat. – BERNAMA