Penyokong calon PKR bertengkar dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas menanggalkan poster kempen di kawasan larangan, di sini hari ini. - Foto BERNAMA |
BUTTERWORTH – Pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh hari ini menanggalkan
ratusan poster, kain rentang dan banting yang berbaur perkauman.
Pemangku Pengarah SPR negeri, Azizal Ahmad berkata, selepas menerima
laporan pagi tadi, pasukan SPR mengadakan operasi menanggalkan bahan
kempen berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan bahan kempen berkenaan tidak menepati
peraturan berkempen kerana berbaur perkauman, lebih kepada serangan
peribadi, tiada kena mengena dengan parti yang bertanding dan ada yang
tidak mempunyai pemilik.
“Mereka didapati bersalah di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan
Raya 1954 dan kami akan membuat laporan polis untuk tindakan
selanjutnya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata SPR menggerakkan enam pasukan dengan empat pegawai
dalam satu pasukan untuk memantau kempen PRK Permatang Pauh ini.
“Operasi pemantau ini akan diteruskan sehingga esok walaupun tempoh
berkempen berakhir malam ini bagi memastikan segalanya berjalan lancar,”
kata Azizal.
Katanya, ketika melakukan operasi, terdapat beberapa ahli politik
yang cuba menghalang tetapi selepas berbincang, bahan kempen itu
akhirnya ditanggalkan.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan banting dan poster yang
ditanggalkan itu adalah di kawasan Permatang Nibong, Kubang Semang dan
Penanti.
PRK Permatang Pauh esok menyaksikan pertandingan empat penjuru antara
calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR),
Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas). – BERNAMA