ALOR SETAR - Kerajaan diminta mengkaji semula penempatan pos-pos
kawalan agensi penguatkuasaan negara di pulau Langkawi bagi membolehkan
usaha mencegah aktiviti penyeludupan termasuk pelarian Rohingya dari
Myanmar lebih berkesan.
Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja
Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata ia berikutan ketiadaan
pos-pos kawalan di kawasan perairan Langkawi yang berhadapan dengan
Thailand.
Beliau yang juga Adun Ayer Hangat berkata kawasan itu di utara pulau
Langkawi terletak paling hampir dengan perairan Laut Andaman dan deretan
kepulauan milik Thailand.
"Ayer Hangat dan Thailand hanya mengambil masa 10 minit sahaja,
sedangkan pos kawalan Polis Marin dan Maritim (Agensi Penguatkuasaan
Maritim Malaysia) terletak di Kuah atau 40 minit menaiki bot daripada
Ayer Hangat.
"Ini adalah perkara yang kurang bijak kerana penyeludup daripada
Thailand hanya mengambil 10 minit untuk ke Ayer Hangat sedangkan bot
ronda kita dari Kuah memerlukan 40 minit untuk sampai," kata Mohd Rawi
kepada pemberita di sini.
Susulan insiden pencerobohan 1,158 pelarian Bangladesh dan Rohingya
dari Myanmar di Langkawi Ahad Lepas, beliau berkata kawalan keselamatan
di pulau peranginan itu perlu ditingkatkan dengan segera.
Deretan pulau-pulau Thailand yang terletak hanya 10 minit dari Ayer
Hangat seperti Satun, Tarutao dan Kuala Bara sememangnya diketahui
lokasi kegemaran bagi sindiket penyeludupan.
"Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan pos-pos kawalan di kawasan Ayer
Hangat yang berhadapan dengan Thailand untuk mencegah aktiviti
penyeludupan termasuk dadah, barangan dan terkini, manusia," katanya.
Mohd Rawi mendakwa cadangan mewujudkan pos-pos kawalan agensi
penguatkuasaan negara di Ayer Hangat telah dikemukakan hampir 20 tahun
lepas.
Menurutnya beliau akan mengemukakan saranan itu kepada Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Maritim adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Berbanding dengan Kuah, kedudukan Ayer Hangat adalah lebih strategik untuk menempatkan pos-pos kawalan keselamatan agensi penguatkuasaan negara kerana ia terletak paling hampir dengan perairan dan kepulauan Thailand, katanya.
Berbanding dengan Kuah, kedudukan Ayer Hangat adalah lebih strategik untuk menempatkan pos-pos kawalan keselamatan agensi penguatkuasaan negara kerana ia terletak paling hampir dengan perairan dan kepulauan Thailand, katanya.
Mohd Rawi berkata bukan sahaja Kuah terletak kira-kira 40 minit
daripada Ayer Hangat, malah kedudukannya juga berhadapan dengan Kuala
Kedah, Kuala Perlis serta Pulau Pinang.
"Berikutan kedudukannya yang berhadapan dengan Satun dan perairan
Thailand, Ayer Hangat adalah lebih strategik untuk penempatan pos-pos
kawalan bot ronda agensi penguatkuasaan negara,"katanya. - Bernama