Rekaan Mimbar Masjid Dunia Islam

Mimbar di Masjid Zayed Abu Dhabi UAE.
MIMBAR bukan perkataan asing dalam Islam. Ia amat sinonim dengan seni bina masjid. Mimbar boleh diibaratkan sebagai takhta kepada seorang yang bergelar imam yang mengetuai solat di masjid.

Digunakan untuk menyampaikan khutbah pada hari kebesaran dalam Islam seperti hari Jumaat, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, kedudukannya ialah di bahagian hadapan dewan sembahyang sesebuah masjid di seluruh dunia Islam.

Mimbar pertama dalam Islam dibina oleh Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat mendirikan Masjid Nabawi setelah umat Islam sampai di Madinah dalam peristiwa penghijrahan paling penting dalam Islam.

Mimbar pertama dalam Islam ini diperbuat daripada batang kurma dan mempunyai tiga anak tangga.

Salah satu hadis yang menyebut tentang mimbar Rasulullah SAW ialah daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
"Apa yang ada antara rumahku dan mimbarku adalah Raudah – sebuah taman daripada taman-taman syurga dan mimbarku berada di atas telagaku." (riwayat Bukhari dan Muslim)
Saiz dan ketinggian reka bentuk mimbar bagi sesebuah masjid ditentukan oleh saiz masjid.

Semakin besar saiz sesebuah masjid, semakin tinggi mimbar yang diperlukan.

Ini untuk memastikan para jemaah yang berada di dalam masjid bukan sahaja dapat mendengar malah melihat dan mengenali imam yang menyampaikan khutbah.

Rekaan mimbar

Islam tidak mengkhususkan sebarang rekaan mimbar. Mimbar yang dihasilkan di seluruh dunia Islam berdasarkan kepada kepandaian dan bahan yang terdapat di sesebuah wilayah.

Begitu pun, terdapat beberapa ciri asas yang dikekalkan dalam kebanyakan rekaan mimbar iaitu mempunyai tangga, tempat duduk imam, empat batang tiang dan bumbung. Namun, terdapat juga mimbar yang tidak mempunyai bumbung atau kubah.

Mimbar di Masjid Biru. Turki.
Di negara Islam seperti Asia Barat dan Afrika, terdapat rekaan mimbarnya yang mempunyai pintu di bahagian hadapan.

Berlainan dengan rekaan mimbar yang sering digunakan di alam Melayu di mana tukang kayu Melayu menghasilkan mimbar yang mempunyai pintu gerbang berhias di bahagian hadapan.

Bahan yang sering menjadi pilihan dalam rekaan mimbar ialah seperti marmar, alabaster, batu dan kayu.

Bahan ini kemudiannya diperindahkan dengan pelbagai teknik hiasan seperti ukiran, tatahan dan warna.

Motif hiasan yang menjadi pilihan juga diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan seperti arabesque, sulur, daun, bunga-bungaan dan geometri.

Mimbar di Masjid Kampung Hulu Melaka.
Pelbagai inovasi rekaan mimbar telah dihasilkan di seluruh dunia Islam bagi disesuaikan dengan rekaan dalaman sesebuah masjid pada hari ini. Ini kerana kebanyakan masjid pada hari ini telah menggunakan pembesar suara ketika khutbah dibacakan.

Oleh itu, ketinggian sesebuah mimbar bukan satu ciri utama dalam rekaan tetapi kedudukan imam masih lagi lebih tinggi daripada kedudukan para jemaah yang duduk di dalam masjid bagi mengikut sunah Rasulullah SAW.

Sumber: Utusan