Remaja Mengaku Tak Bersalah Sebabkan Kematian Rakan Di Asrama Kolej

Pelajar Kolej Vokasional Bachok mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menyebabkan kematian rakannya pada 12 Mei lepas. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU – Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang rakannya di sebuah bilik asrama di sebuah kolej vokasional di Bachok pada 12 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan memohon jaminan dikurangkan.

Hakim Mohd Yusuf Yunus membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selepas tertuduh yang merupakan seorang pelajar berjanji akan hadir setiap kali perbicaraan dan ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukannya.

Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA