Pegawai dan anggota bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian. |
GURUN – Sebuah restoran di kaki Gunung Jerai yang terkenal dengan aktiviti karaoke pada waktu malam terbakar, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan kerosakan pada bangunan
sebanyak 20 peratus dan kemusnahan barangan sebanyak 80 peratus.
Saksi kejadian, Muhd Zulhakimi Zulkhairi, 10, berkata, sewaktu kejadian dia sedang tidur di dalam restoran terbabit.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Saya pun bangun dan terkejut tengok ada percikan api di suis utama.
“Saya hanya sempat menyelamatkan diri dan berlari meminta pertolongan
orang ramai yang lalu lalang di kawasan terbabit,” katanya kepada Sinar
Harian.
Menurutnya, restoran itu diusahakan oleh bapanya pada waktu malam
kerana bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Alor Setar pada
waktu pagi.
Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Safwan Md Saad berkata, pihaknya
menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.50 pagi, sebelum tiba di
lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita lihat bangunan tiga tingkat itu
musnah 20 peratus. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.