KUALA NERANG - Seorang warga emas hanya mampu melihat bumbung rumahnya
diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Padang Nyior, Mukim
Padang Terap Kiri, petang kelmarin.
Mangsa, Jariah Rais, 60, berkata, seperti biasa selepas kematian
suaminya beberapa tahun lalu, dia akan pergi ke rumah jirannya untuk
berlindung setiap kali hujan lebat kerana bimbang keselamatan diri.
"Masa kejadian itu, makcik di rumah jiran dan hanya mampu lihat bumbung
seperti digulung angin sebelum tercampak di belakang rumah.
"Ini pengalaman pertama makcik lihat ribut yang rosakkan rumah makcik
sendiri sebab selama ini hanya melihatnya dalam televisyen," katanya.
Menurutnya, berikutan kejadian ribut berkenaan, beberapa bumbung rumahnya rosak dan perlu dibaik pulih.
"Bila balik rumah, makcik lihat bilik di bahagian atas rumah digenangi
air. Mujur juga dalam bilik itu tiada peralatan elektrik dan perabot,
cuma pakaian dan bantal sahaja yang basah kena hujan.
"Kalau hendak baiki sendiri bumbung rumah ini, memang makcik tak mampu
sebab untuk menyara hidup sendiri pun guna wang yang anak-anak berikan.
Jadi, makcik harap ada pihak yang membantu untuk baik pulih bumbung
ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, Umar Ismail, 54, berkata, ketika kejadian dia dan
isteri bersama anak-anaknya tiada di rumah kerana memberi beberapa
peralatan mesin padi di Pendang.
"Saya hanya tahu rumah dihempap pokok durian daripada jiran. Mujur
juga, kami tiada di rumah, kalau tidak tentu ada yang cedera.
"Sampai di rumah, saya lihat beberapa zink pecah dan air sudah
bergenang dalam rumah. Mujur ada dinding belakang rumah yang menjadi
penahan, kalau tidak mungkin lagi banyak bumbung rumah yang rosak,"
katanya.
Malah, menurutnya, berpuluh-puluh durian yang akan luruh beberapa bulan
lagi turut rosak dan pokok getah juga tumbang disebabkan ribut
berkenaan.
"Saya berterima kasih kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Padang
Terap kerana datang memotong pokok tumbang itu dengan cermat sekali gus menyelamatkan beberapa keping bumbung rumah daripada turut rosak.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Abd Satar Abdullah berkata, sebanyak
28 keluarga terbabit dalam kejadian ribut berkenaan di tiga kampung
iaitu Kampung Padang Nyior (5), Kampung Tanjung (10) dan Kampung Padang
Gelanggang (13).
Menurutnya, ribut sama turut merosakkan bumbung Sekolah Kebangsaan Padang Terap.
"Kita ada terima panggilan daripada penduduk kira-kira jam 5.30 petang memaklumkan sebuah rumah dihempap pokok durian.
"Bagaimanapun, kerja memotong pokok berkenaan terpaksa ditangguhkan
pagi ini (semalam) kerana cuaca gelap dan hujan lebat yang boleh
membahayakan anggota kita," katanya.
Sumber: Sinar Harian