KUALA LUMPUR – Penyenaraian 10 projek baharu bernilai RM2.3 bilion
bagi menaik taraf lebuh raya dan laluan sekitar Pulau Pinang dalam
Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bukti Kerajaan Persekutuan tidak
mengenepikan negeri itu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
berkata projek berkenaan termasuk lima projek naik taraf laluan untuk
penyuraian trafik bagi mengurangkan kesesakan laluan ke Jambatan Sultan
Abdul Halim Muadzam Shah yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM1
bilion.
“Saya terkejut semalam dalam ucapan YB Bagan (Lim Guan Eng) sebut tiada langsung projek kepada Pulau Pinang dalam RMK11.
“Di manakah sikap anak tiri Kerajaan Pusat kepada Pulau Pinang? Belah
sana (pembangkang) memang panas bila kita kata kebenaran…saya dah
maklumkan (projek) ni…kita tak mahu lagi Bagan dan rakan-rakan
mengatakan perkara yang tidak wajar dan mengelirukan rakyat,” katanya
merujuk dakwaan Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa kerajaan
pusat ‘menganak tirikan’ negeri itu ketika membahaskan RMK11 semalam.
Rosnah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ng Wei Aik
(DAP-Tanjung) yang bertanya punca kesesakan lalu lintas di laluan menuju
Jambatan Pulau Pinang dan sama ada kerajaan bercadang untuk menyelaras
bayaran tol di kedua-dua jambatan di negeri itu.
Menafikan kesesakan di laluan itu kerana pengguna mengelak membayar
kadar tol yang tinggi di jambatan kedua, Rosnah yang juga anggota
Parlimen Papar sebaliknya menyatakan kesesakan adalah disebabkan
pertambahan kenderaan dan pembangunan pesat di sekitar koridor
berkenaan.
Dalam pada itu Rosnah berkata kerajaan kini sedang mempertimbang
laluan alternatif yang baharu untuk mengurangkan impak kesesakan trafik
selepas Plaza Tol Juru sehingga ke persimpangan bertingkat Seberang
Jaya.
“Kementerian kini sedang dalam proses untuk melantik juruperunding
bagi menjalankan kajian kemungkinan untuk membina laluan altenatif di
laluan utama koridor utara.
Hasil kajian tersebut kelak akan digunakan oleh kerajaan bagi
menentukan cadangan pembinaan jalan baharu sebagai laluan alternatif
menghubungkan kawasan-kawasan di koridor utara,” katanya. – BERNAMA