Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak |
KUALA LUMPUR – Pertumbuhan sektor pembinaan, perkhidmatan dan
pembuatan dijangka meningkat dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11)
memacu Malaysia ke arah negara maju pada tahun 2020.
Sektor pembinaan menjadi semakin penting berikutan peningkatan
permintaan terhadap infrastruktur moden dan cekap, selari dengan
matlamat negara maju, kata Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana
Menteri dalam Dokumen RMK11.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan rancangan lima tahun tersebut (2016-2020) di Dewan Rakyat, Khamis.
Menurut dokumen itu, dalam tempoh RMK11, sektor pembinaan diunjur
berkembang pada kadar 10.3 peratus setahun dan menyumbang RM327 bilion
atau 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang
tahun 2020.
Dalam tempoh RMK10, sektor pembinaan mencatat kadar pertumbuhan
tahunan purata 11.1 peratus, disokong oleh kejuruteraan awam yang
berkembang pada kadar 9.3 peratus setahun.
Ia diikuti subsektor kediaman dan bukan kediaman, masing-masing pada kadar purata 16.5 peratus dan 9.1 peratus.
Menurut dokumen itu, kerajaan akan memperkenalkan Program
Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 memesatkan pembangunan
industri bagi memenuhi permintaan pasaran.
Dalam tempoh RMK11, usaha mentransformasi sektor pembinaan
berdasarkan empat strategi, termasuk memacu produktiviti melalui
peningkatan penggunaan teknologi dan pemodenan kaedah pembinaan.
Antara tahun 2016 dan 2020, pembangunan sektor perkhidmatan akan
berpandukan kepada Blueprint Sektor Perkhidmatan bermatlamat
meningkatkan potensi dan mentranformasikan sektor ini kepada sektor
berintensif pengetahuan dan inovasi.
Sektor ini dijangka berkembang pada kadar 6.9 peratus setahun dan
pada tahun 2020, sektor ini menyumbang 56.5 peratus kepada KDNK dan
menggaji 9.6 juta pekerja.
Bagi mencapai sasaran ini, lima strategi akan dilaksanakan termasuk
memantapkan tadbir urus secara komprehensif dan bersepadu melalui
pengukuhan kerjasama dan penyelarasan dalam kalangan pihak
berkepentingan serta memodenkan kawal selia.
Menurut dokumen itu, sektor pembuatan akan beralih kepada pengeluaran produk bernilai tinggi, lebih kompleks dan pelbagai.
Proses peralihan ini dipacu oleh tiga subsektor pemangkin, iaitu
kimia, elektrik dan elektronik serta mesin dan peralatan dan industri
yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi seperti peranti perubatan dan
aeroangkasa.
Subsektor ini mempunyai kesalinghubungan yang kuat dengan subsektor
pembuatan yang lain serta berkeupayaan dan berpotensi mengeluarkan
produk yang lebih kompleks dan bernilai tambah tinggi.
Sektor pembuatan dijangka berkembang pada kadar 5.1 peratus setahun
dan pada tahun 2020, sektor ini dijangka menyumbang sebanyak 22.4
peratus kepada KDNK serta 18.2 peratus kepada jumlah guna tenaga.
Menurut dokumen RMK11 itu, proses peralihan ini akan disokong melalui
pengukuhan aktiviti penyelidikan dan pembangunan, amalan pembuatan
mampan, pematuhan kepada standard global dan peningkatan kerjasama
antara pihak berkepentingan.
Lima strategi telah dikenal pasti untuk memacu pertumbuhan dan
memperkukuh sektor pembuatan, termasuk mengeluarkan produk yang lebih
kompleks dan pelbagai dengan memperkukuh asas pengeluaran dan
meningkatkan eksport produk frontier. – BERNAMA