KUALA LUMPUR – Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO sedia menghulur
bantuan yang diperlukan pelarian Rohingya bagi mengurangkan beban
mereka, kata ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata skuad itu, yang kini mempunyai lebih 200,000 ahli di
seluruh negara sedia digerakkan pada bila-bila masa bagi memberi
sebarang bentuk bantuan yang diperlukan pelarian itu.
“Kalau perlu, kami (Wanita UMNO) akan jadi sukarela dan gerakkan
Skuad Sayang…Kami sedia membantu jika diminta,” katanya selepas
merasmikan Program Rawatan Selepas Bersalin di sini, semalam.
Seramai 1,158 pendatang Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar,
termasuk wanita dan kanak-kanak, dilaporkan mendarat secara haram dengan
bot di Langkawi, pada 10 Mei dan angka itu dilaporkan sebagai yang
terbesar setakat ini.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat semalam,
Malaysia, Indonesia dan Thailand akan terus melaksanakan tanggungjawab
dan obligasi di bawah undang-undang antarabangsa dan selaras dengan
undang-undang domestik masing-masing termasuk menghulurkan bantuan
kemanusiaan kepada migran.
Shahrizat berkata persetujuan Kuala Lumpur dan Jakarta untuk
memberikan perlindungan sementara di kawasan yang sesuai dalam tempoh
setahun, dilihat satu penyelesaian terbaik untuk jangka masa pendek
kepada pelarian tersebut.
“Memang kami kasihankan mereka, mereka memerlukan bantuan dan
perlindungan. Kita tak boleh biarkan mereka mati kelaparan. Namun kita
juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuka sempadan kita kerana masalah
lain akan timbul,” katanya.
Mengenai program hari ini, Shahrizat yang juga Penasihat Pembangunan
Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri berkata, ia
dilaksanakan bagi memberikan pengiktirafan kepada golongan bidan.
“Program hari ini menggabungkan keusahawanan dan profesion. Macam
Program Post-Natal, kami nak tentukan bidan-bidan yang ada pada hari ini
akan diberi pengiktirafan.
“Kami nak usahakan supaya bidan-bidan yang tidak bertauliah ini,
mereka mesti diberi ruang dan peluang untuk dapat latihan dan kemahiran
kerana bidang ini membabitkan keselamatan ibu dan anak,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata jabatan itu menjalin kerjasama dengan
Kementerian Sumber Manusia bagi merealisasikan hasrat tersebut. –
BERNAMA