#Rohingya: Guan Eng Dicabar Buktikan "Juara Hak Asasi Manusia"


KAJANG - Usaha untuk membantu pelarian Rohingya dan Bangladesh kini dipolitikkan apabila Kerajaan Persekutuan mencabar Pulau Pinang membuktikan bahawa negeri itu adalah 'juara pejuang hak asasi manusia'.

Ia berikutan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mahu penempatan sementara pelarian dibuat di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan kerana kerajaan negeri kekurangan ruang bagi tujuan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa lokasi selain Pulau Pinang dikenal pasti untuk didirikan kem sementara bagi menempatkan pendatang namun tetap menegaskan agar kerajaan DAP Pulau Pinang membenarkan kemasukan kumpulan itu.

"Kami mahu melihat keikhlasan kerajaan Pulau Pinang diketuai oleh DAP yang bekerjasama dengan PKR dan PAS kononnya mereka adalah juara hak asasi manusia seperti yang mereka selalu minta kerajaan (Persekutuan) laksanakan dasar kemanusiaan.

"Mereka perlu menerima pendatang ke Pulau Pinang," kata Ahmad Zahid kepada pemberita di penjara Kajang di sini, semalam.

Selain itu Ahmad Zahid menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan Pertubuhan Antarabangsa Mengenai Migrasi (IOM) untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam menyelesaikan isu pendatang asing.

"Kami ingin beritahu masyarakat antarabangsa, terutamanya UNHCR dan IOM, bahawa apa yang kita lakukan adalah sesuatu yang baik. Dan kami berharap mereka tidak hanya memberi kad UNHCR dan pada akhirnya, meletakkan tanggungjawab ke atas Malaysia.

"Kami berharap mereka akan membantu kita dari segi kos memberi makan. Sebanyak RM6.50 untuk memberi makan seorang pendatang asing setiap hari. Itu adalah perbelanjaan yang besar," katanya. -mStar