Rohingya: NGO, Individu Perseorangan Diajak Hulur Bantuan

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak persendirian sama-sama menghulurkan bantuan untuk mangsa pemerdagangan manusia yang terdiri daripada etnik Rohingya.

Ujar beliau lagi, pihak kerajaan sedia menjadi orang tengah untuk menyampaikan sumbangan-sumbangan tersebut melalui agensi-agensi terlibat.

“Saya minta semua NGO tanpa mengira agama dan kaum untuk tampil membantu secara sukarela terhadap migran Rohingya ini.

“Walaupun mereka merupakan golongan migran yang cuba masuk secara tidak sah dan melanggar peraturan imigresen tetapi kebajikan mereka tidak wajar diabaikan.

“Mereka ini adalah migran Rohingya yang diseludupkan di atas kerelaan mereka sendiri susulan daripada pembayaran kepada sindiket atau tekong,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kata Zahid lagi, kementeriannya melalui Jabatan Imigresen Malaysia sedia bekerjasama dengan menghantar bantuan yang disalurkan terus buat warga asing yang terdampar di Langkawi semenjak 10 Mei lalu.

Buat mana-mana syarikat mahupun pihak persendirian yang ingin memberi bantuan, bolehlah menghantar ke:
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah, Tingkat 1-2, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Bandar Muadzam Shah, 60550, Alor Setar, Kedah.
- Kedahnews.com