Gambar Hiasan |
GEORGE TOWN – Sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul
hari ini diserbu Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNN) Pulau Pinang gara-gara menjual
roti canai telur pada harga RM2.50.
Timbalan Ketua Penguatkuasa KPDNKK negeri Chin Ching Chung berkata
pemeriksaan pada 10.40 pagi itu dijalankan selepas pihaknya menerima
aduan pengguna mengatakan harga roti canai telur sebelum pelaksanaan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ialah RM1.80.
“Peniaga terbabit diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan dokumen
berkaitan dan menyatakan sebab munasabah mereka menaikkan harga sebelum
tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata jika pengusaha gagal mengemukakan alasan kenaikan itu
dalam tempoh yang ditetapkan mereka boleh diambil tindakan mengikut
Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Jika pengusaha terbabit didapati mengaut keuntungan dengan margin
berlebihan mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 14 akta sama,” katanya.
Chin berkata siasatan lanjut mendapati harga roti canai telur di
restoran itu berubah beberapa kali sebelum April iaitu dari RM1.80
kepada RM2.20 dan terbaru menjadi RM2.50 selepas GST.
Tinjauan pada tanda harga di papan menu yang menggunakan pelekat
mudah dipinda mendapati harga roti canai telur pernah dijual pada harga
serendah RM1.60.
Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan harga dari
semasa ke semasa bagi memastikan pengguna tidak menjadi mangsa sikap
tamak segelintir peniaga yang mengambil kesempatan pelaksanaan GST untuk
menaikkan harga barang sesuka hati. – BERNAMA