KUALA TERENGGANU – Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menggunakan
platform atau medium baharu yang lebih mesra pengguna dalam era maklumat
yang sentiasa boleh diakses melalui satu alat komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari
berkata langkah memperkenalkan RTM Mobile Apps wajar dipuji kerana
beliau banyak menerima maklum balas positif bahawa tindakan berkenaan
adalah satu langkah bijak.
“Selari dengan arus kemajuan teknologi, RTM perlu seiring dengan
kemajuan teknologi supaya peneraju penyiaran itu terus kekal relevan dan
sentiasa menjadi rujukan dan pilihan masyarakat.
“Dengan daya usaha yang tidak sedikit nilainya, siaran televisyen dan
radio RTM kini boleh dicapai menerusi Internet dan RTM Mobile selari
dengan slogan RTM di mana jua,” katannya pada sambutan ulang tahun RTM
ke-69 peringkat negeri Terengganu di Jabatan Penyiaran Terengganu di
sini.
Jailani berkata hasil daripada perubahan yang dilaksanakan, RTM kini
boleh ditonton, didengar dan dicapai di seluruh dunia sekali gus dapat
mendekatkan lagi RTM kepada khalayak selain memasyarakatkan RTM di
peringkat nasional dan global.
Mengenai program siaran TV Digital, Jailani berkata ia diharap dapat
dilaksanakan tahun ini dan ketika ini, ujian serta percubaan mengenai
proses penyiaran TV itu sedang dijalankan.
“Asalnya kita rancang nak lancarkan pada Julai tahun ini. Tapi ada
sedikit masalah yang belum dapat diselesaikan, maka ia jadi terlewat
sedikit.
“Tetapi saya harap ia dapat beroperasi tahun ini juga atau selewat-lewatnya awal tahun depan,” katanya. – BERNAMA