Abdul Mutalib (kiri) cuba mendaki anak tangga kediaman Che Wan. |
KUALA KEDAH - Dua beranak di Lorong 9, Kampung Ulu, dekat sini, didakwa menghuni sebuah kediaman usang yang hampir roboh.
Tinjauan Sinar Harian mendapati kediaman berkenaan berisiko
memandangkan lantai makin mereput dimamah usia, sekali gus tidak selamat
diduduki.
Disebabkan itu, Che Wan Mat, 60, yang tinggal dengan anak perempuan
tunggalnya berusia 26 tahun terpaksa menumpang teduh di kediaman
saudara.
Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Kuala Kedah, Mohd Fuad Mohd Isa
berkata, warga emas berkenaan tinggal bersama anaknya yang bekerja
kilang.
“Sebaik menerima maklumat berkaitan mereka, kami segera turun padang
melawat kediaman berkenaan. Alangkah terkejut melihat keadaan kediaman
itu.
“Rumah didiami mereka sejak lebih tujuh tahun lalu dikhuatiri sudah
tidak boleh diduduki kerana dilihat menunggu masa untuk roboh,” katanya.
Lebih membimbangkan, katanya, mereka anak beranak hendak naik ke
kediaman mereka sendiri juga tidak boleh memandangkan tangga rumah sudah
patah.
Masalah berkenaan kemudiannya dibawa kepada pengetahuan pihak Penyelaras Dun Kubang Rotan, Datuk Abdul Mutalib Harun.
Abdul Mutalib berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu warga emas
berkenaan kerana bimbang mengenai keselamatan dia semasa tinggal di
rumah itu.
Untuk itu, katanya, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan baiki rumah di bawah perumahan rakyat termiskin.
“Bayangkan, apabila kita pijak lantai kayu kediaman berkenaan ia
seolah-olah ingin roboh. Jadi, kita mengharapkan mereka menerima
bantuan,” katanya.
Setakat ini, katanya, pihaknya sudah memberi bantuan dari segi belanja
harian bagi membantu Che Wan dan anak perempuannya meneruskan kehidupan
selesa.
Sumber: Sinar Harian