Rusmin (tengah) menyerahkan bantuan kepada Farinah. |
Kediaman berkenaan didiami pasangan Shukri Che Nik, 56, dan Farinah Said, 55, bersama anak mereka bukan hanya berlubang, malah kerap dimasuki haiwan liar.
Lebih menyedihkan, bahagian tertentu kediaman hanya berlantai tanah dan berdinding papan diambil dari tapak pembinaan berdekatan kerana mereka tidak mampu membeli.
Anak kedua pasangan berkenaan, Siti Saleha, 20, berkata, mereka sudah lama menetap di rumah tersebut, namun enggan berpindah ke mana-mana, walaupun sedar kediaman itu kurang selesa.
“Meskipun, rumah kami serba kekurangan, malah ada bumbung bocor, namun, kami sedia hadapi cabaran hidup sebegini bersama-sama.
“Namun, tidak dinafikan kami mengharapkan kehidupan lebih selesa, malah rumah lebih sempurna untuk didiami. Untuk itu, saya berharap bantuan baik pulih diluluskan,” katanya.
Siti Saleha berkata, mereka berharap dapat memulakan hidup di kediaman yang sudah dibaik pulih, terutamanya ketika menyambut Aidilfitri tahun ini.
“Jikalau tahun-tahun sebelumnya, sambutan raya kami tidak seindah orang lain. Kali ini, diharap berbeza. Lagipun, kehidupan kami makin senang sikit sejak menerima bantuan” katanya.
Nasib mereka tujuh beranak itu terus meraih simpati ramai termasuklah Sinar Harian Utara dan Pertubuhan Amal Seiring Bersama Utara yang turun padang melawat keluarga itu.
Dalam lawatan diketuai Pengurus Kanan Operasi Utara, Rusmin Fadzil, keluarga berkenaan menerima sumbangan barangan keperluan harian dan wang untuk perbelanjaan mereka.
Pada 5 Mei lalu, keluarga ini dilaporkan hidup dalam keperitan sehingga memaksa mereka makan nasi berlaukkan garam.
Susulan itu, Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) melakukan tinjauan ke kediaman dan memberi bantuan kepada keluarga berkenaan.
Sumber: Sinar Harian