Hashim yang terkejut menerima rawatan kecemasan dari anggota bomba |
SUNGAI PETANI – Seorang remaja melecur di tapak kaki kiri semasa sedang
mengalihkan tong gas dan peralatan rumah dalam kebakaran dekat Taman Ria
Jaya, Sungai Petani dalam kejadian jam 4.30 petang semalam.
Mangsa, Mohd Syafik Hashim, 17, ketika itu dipercayai terlelap sebelum
menyedari rumahnya terbakar menyebabkan dia bergegas menyelamatkan
peralatan dapur serta barangan elektrik lain.
Akibat itu, dia mengalami kecederaan di kaki kanan akibat terpijak kaca
sementara tapak kaki kirinya melecur dalam kejadian itu.
Bapanya, Hashim Hasan, 59, yang berada di luar ketika kejadian terkejut
mendapati rumahnya terbakar dan anaknya mengalami kecederaan.
Dia yang cemas hampir pitam dan menerima rawatan dari anggota bomba
berpengalaman yang turut memberi bantuan kecemasan sebaik sahaja tiba di
lokasi kejadian.
Sementara itu, jiran mangsa, Mazidah Suhaimi, 37, yang sedang tidur
berkata, dia terdengar bunyi bising dari luar sebelum membawa keluar
anak apabila ada yang menjerit ternampak asap.
“Jiran beritahu nampak asap tebal di rumah sebelah,” katanya.
Difahamkan, kebakaran dikatakan bermula dari bahagian dapur sebelum merebak ke rumah jiran sebelah dan siling rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Rosdi Ismail berkata,
pihaknya menerima panggilan pada jam 4.34 petang dan tba pada jam 4.45
petang.
“Api dapat dikawal pada jam 4.48 petang dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.32 petang.
“Kita terima laporan seorang remaja cedera di kaki kiri akibat melecur
dan dibawa menggunakan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke
Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani,” katanya.
Katanya, punca dan kerugian masih dalam siasatan.
Sumber: Sinar Harian