Sejak di sekolah, guru selalu mengajarkan murid bahawa hanya burung
dan mamalia adalah haiwan berdarah panas, sedangkan spesies ikan,
reptilia, dan amfibia adalah binatang berdarah sejuk.
Namun, penemuan terkini saintis dari Pentadbiran Atmosfera dan
Kelautan Nasional (NOAA) di Amerika Syarikat yang diterbitkan menerusi
jurnal ternama Science pada 14 Mei lalu bakal mengubah pemahaman sains tersebut.
Pakar biologi NOAA, Nicholas Wagner mengesahkan mereka berjaya
menemui sejenis ikan berdarah panas yang pertama di dunia, opah atau
juga disebut ikan bulan, sunfish, kingfish, redfin ocean pan atau Jerusalem haddock.
Opah sebenarnya popular dalam masakan Jepun khasnya sebagai sushi dan sashimi
awal 1990-an lalu, malah ikan ini terkenal di kebanyakan restoran
makanan laut di Hawaii walaupun 65 peratus isinya ialah tulang kulit
keras.
Haiwan berdarah panas mampu mengatur suhu tubuh dengan mekanisme
dalaman manakala berdarah sejuk pula suhu tubuhnya selalu berubah sesuai
persekitaran dan melakukan adaptasi terhadap suhu dengan tingkah laku.
Spesies hiu dan tuna adalah contoh haiwan berdarah dingin yang mampu
menyelam pada kedalaman dan suhu sejuk tetapi waktu tertentu, ikan ini
perlu kembali ke permukaan untuk melindungi organ utama seperti jantung.
Sebaliknya dalam penelitian NOAA, Wagner dan rakannya menanda
sejumlah opah yang hidup di pantai dalam California bagi mengkaji
pergerakan, membaca suhu tubuh, serta suhu dan kedalaman tempatnya
bergerak.
Hasilnya mereka mendapati fakta bahawa ikan itu mempunyai suhu tubuh
stabil sekitar 7 darjah Celsius lebih tinggi daripada persekitaran
bahkan mempertahankan suhu tubuh dengan berterusan menggerakkan sirip
dada.
“Dengan menjadi endoderm (menghasilkan panas dari dalam),
opah tidak perlu bergerak ke permukaan untuk sekadar hangatkan badan dan
boleh tetap pada kedalaman dekat sumber makanannya sendiri,” kata
Wagner.
Opah atau nama Latin iaitu Lampris guttatus adalah ikan
jenis pelagis yang berat dewasa secara purata ialah 90 kilogram dengan
tubuh montel berukuran setara serta lazim ditemui nelayan sebagai
berbentuk bujur.
Ikan saiz raksasa ini sering menghabiskan hidupnya pada kedalaman 50
sehingga 300 meter di laut untuk berburu sotong; kebanyakan di perairan
Lautan Pasifik Timur, Lautan Atlantik Barat dan suhu sejuk di Lautan
Hindi.
Owyn Snodgrass dari NOAA menjelaskan, opah juga boleh mengekalkan
suhu kerana struktur unik pada insang yang memungkinkan darah
meninggalkan organ itu dihangatkan sebelum disebarkan ke seluruh tubuh. –
Agensi