Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan |
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan akan mencetak semula buku mata
pelajaran sejarah tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan
melakukan pembetulan dan penambahbaikan pada kesilapan yang didakwa
pada buku berkenaan.
Timbalan Menteri P. Kamalanathan berkata keputusan itu dibuat selepas
semakan dan penelitian oleh sekumpulan Pakar Rujuk Kurikulum dan Buku
Teks Sejarah sebaik sahaja kementerian menerima laporan rasmi mengenai
perkara tersebut.
“Kementerian telah mengambil tindakan apabila mendapat laporan bukan sahaja di dalam media, tetapi juga laporan rasmi.
“Enam individu ternama dalam bidang sejarah terlibat dalam Pakar
Rujuk Kurikulum dan Buku Teks Sejarah telah meneliti dakwaan dan
persepsi tersebut.
“KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) akan membuat tindakan
pembetulan dan edisi cetakan semula dengan sedikit penambahbaikan bagi
memastikan murid dapat memahami dengan lebih mudah,” katanya ketika
menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) pada persidangan Dewan
Rakyat di sini, semalam.
Oscar bertanya mengenai tindakan KPM berhubung laporan buku teks
sejarah tahun lima SJKC yang dikatakan mengandungi 80 kesalahan termasuk
fakta-fakta mengenai penjajahan Jepun.
Kamalanathan menyatakan hasil semakan juga mendapati hanya sembilan
isu sahaja yang diutarakan dan sebahagian besar isunya adalah tidak
salah kerana ia berdasarkan fakta sebenar.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai
pelaksanaan semula hukuman rotan ke atas pelajar sekolah bagi membendung
masalah displin dalam kalangan pelajar, Kamalanathan berkata KPM telah
menjalankan dialog polisi dan libat urus hukuman rotan di enam zon
seluruh negara mulai Mac lalu hingga Mei tahun ini.
“Dialog ini bertujuan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan
mengenai pelaksanaan semula hukuman rotan dan pandangan akan diambil
kira dalam penyediaan draf akhir peraturan-peraturan pendidikan displin
murid tahun 2015,” katanya. – BERNAMA