Satu Lawan Satu: Kedudukan Hadi, Mat Sabu Dicabar


ALOR SETAR - Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi hari ini mengumumkan bahawa pemilihan PAS kali ini bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu melibatkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.

Pertembungan bagi jawatan Presiden PAS menyaksikan bekas Naib Presiden, Ahmad Awang, bakal mencabar penyandang jawatan nombor satu parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala calon bagi jawatan Timbalan Presiden PAS pula, Mohamad Sabu yang merupakan penyandang jawatan tersebut akan dicabar oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang bagi jawatan nombor dua parti berkenaan.

Selain itu, enam pencalonan diterima untuk bertanding jawatan Naib Presiden PAS melibatkan dua pemimpin yang merupakan penyandang penyandang jawatan itu iaitu Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub.

Selain mereka berdua, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut tersenarai untuk merebut jawatan Naib Presiden PAS.

Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS, pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan di antara penyandang jawatan, Suhaizan Kaiat, dengan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang merupakan AJK PAS Pusat dan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pertandingan akan berlangsung pada muktamar tahunan PAS yang ke-61 pada 4 hingga 6 Jun depan.

Pengumuman dibuat sebentar tadi di Pejabat PAS Kuala Lumpur. -Kedahnews.com