"Sifu", Datuk M Nasir |
Sejarah pembabitannya dalam industri seni sudah menjangkau empat dekad.
Sepanjang tempoh itu, Datuk M Nasir berjaya meraih segala-galanya termasuk sanjungan serta penghargaan daripada masyarakat dan pelbagai pihak.
Sentuhannya sebagai penerbit album dan komposer juga menjadi apabila berjaya melahirkan ramai penyanyi yang terus popular sehingga kini.
Tidak hairanlah artis kelahiran Singapura yang turut berkebolehan melukis ini sering menjadi rujukan pelbagai generasi yang menjadikannya sebagai idola mereka.
Barangkali, inilah kelebihan Nasir yang sukar didapati pada orang lain.
Ketika penyanyi lain terkial-kial mendapatkan tajaan untuk penganjuran konsert, penyanyi yang digelar ‘sifu’ ini berupaya menarik perhatian syarikat telekomunikasi terkenal untuk menaja konsert solonya yang diberi nama M Nasir...kembara yang akan menjelajah empat lokasi di seluruh negara.
Konsert ini membuka pentas di Stadium Tertutup SUKPA, Indera Mahkota, Kuantan Pahang pada 23 Mei ini, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor (13 Jun); Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang (5 September) dan berakhir di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor pada 7 November ini.
Bercakap pada sidang media konsert berkenaan baru-baru ini, Nasir melahirkan perasaan terujanya kerana dapat bertemu peminat di luar Kuala Lumpur.
“Saya rasa bersyukur, teruja dan tak sabar untuk buat persembahan pada konsert ini. Memang sudah lama saya tak buat konsert jelajah begini.
“Konsert Andalusia pada 2000 antara konsert solo terbesar saya, tapi ia berlangsung di Kuala Lumpur. Nak dikatakan mencabar pun, ini adalah kerja saya.
“Persiapan pun sudah lama dibuat. Cuma konsert ini dibuat di luar Kuala Lumpur dan saya kena hadapi reaksi berbeza daripada penonton,” katanya.
Nasir tidak berseorangan kerana konsert ini turut menampilkan artis undangan iaitu kumpulan Spider, Pita Hati dan Fynn Jamal sebagai artis undangan.
“Saya juga membawa anggota Kembara ke beberapa lokasi yang ditentukan nanti. Mereka akan tampil dalam satu segmen khas.
“Saya harap dapat memberikan persembahan terbaik serta menghiburkan semua. Saya belum pencen menyanyi dan rasanya dalam Malaysia, belum ada lagi tempat yang saya belum pergi,” katanya.
Nasir akan menyanyikan rangkaian lagu popularnya seperti Hijab Kekasih, Mustika, Phoenix Bangkit Dari Abu, Mentera Semerah Padi, Andalusia, Impian Seorang Nelayan, Falsafah Cinta dan banyak lagi.
Tiket untuk menyaksikan konsert di Kuantan berharga RM65 dan RM125 manakala di Johor pula berharga RM75 dan RM155.
Pembelian tiket boleh dibuat secara atas talian menerusi www.ticket2u.biz.
Sumber: myMetro