Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem |
Umumnya, masyarakat Malaysia khususnya rakyat di negeri bumi Kenyalang, Sarawak
mengetahui tentang kesederhanaan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Beberapa bulan lalu ketika ulang tahun kelahiran beliau, Adenan telah
mengarahkan syarikat-syarikat mahupun mana-mana individu agar tidak
membelanjakan wang bagi membayar iklan ucapan hari lahirnya di akhbar.
Ujarnya, tindakan tersebut wajar dilakukan bagi mengelakkan
pembaziran, malah turut mencadangkan agar dana tersebut disalurkan untuk
tujuan kebajikan.
Terbaru, menerusi video di laman TV Sarawak, Adenan meminta agar
speaker mahupun pengacara majlis tidak menggunakan panggilan penuh
namanya ketika majlis rasmi.
“Agak membosankan sekiranya setiap kali ada majlis
rasmi, speaker akan memanggil saya Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk
Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem. Panggil sahaja CM atau Adenan,
cukuplah,” ujarnya.
Panggilan CM merujuk kepada jawatannya sebagai Ketua Menteri atau Chief Minister.
Kenyatan tersebut dibuat beliau ketika ucapan penggulungan hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.
Selain itu, beliau turut meminta agar pihak luar berhenti
memanggilnya dengan panggilan ‘sayang’ kerana ia dikhususkan untuk ahli
keluarga terdekat terutamanya isteri, anak-anak dan cucu.
“Saya malu bila dipanggil ‘sayang’. Tolong jangan panggil saya begitu,” kata Adenan lagi.
Sebelum ini timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang sering
menggunakan terma ‘Ketua Menteri yang disayangi (beloved Chief
Minister)’ untuk memanggil Adenan. -Kedahnews.com