KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaibkan diri sendiri kerana membocorkan rahsia pertemuan mereka yang diadakan di Yayasan Al-Bukhari pada 13 Mac 2013 yang lepas.
Tegas Pandikar, pertemuan yang dikatakan perbincangan hati ke hati dan seumpama seorang anak dan ayah itu diakui memang berkisar kepada isu mahu meletakkan jawatan kerana kecewa dengan sistem Parlimen pada masa itu.
"Saya mohon kemaafan jika ia mengguris hati Tun M, saya tak mahu aibkan dia, sebagai respon Tun M semalam yang menyifatkan saya memalukan dia, bagi saya kenyataan Tun M yang memalukan dirinya sendiri apabila melanggar etika kerahsiaan yang seharusnya pertemuan itu tidak patut dizahirkan kepada sesiapa.
"Saya jumpa Tun M di Yayasan Bukhari pada 13 Mac 2013. Dalam pertemuan itu kami bincang banyak perkara politik semasa dan saya akui sudah curahkan isi hati kekecewaan dan tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat selain meluah rasa hendak meletak jawatan Speker.
"Saya curahkan isi hati kepada Tun M seumpama seorang anak kepada bapa. Seperti mana dimaklumkan, Tun M mungkin terlalu ghairah hendak menjatuhkan Najib kerana menyarankan saya untuk meletak jawatan," katanya semasa sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.
Tun Mahathir baru-baru ini, berkata Pandikar telahpun meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, kenyataan Dr Mahathir tentang peletakkan jawatan itu disangkal oleh Pandikar Amin menerusi satu kenyataan.
Sumber: AstroAwani