KUALA LUMPUR – Syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd boleh
memohon semula sijil halal untuk premis itu setelah prosedur pensijilan
melibatkan kesalahan kebersihan dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP)
dipatuhi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata sijil halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) adalah berdasarkan dua perkara, iaitu penggunaan produk dalam
penghasilan makanan tidak mengandungi elemen haram dan konsep
‘toyyibban’.
“Sijil halal JAKIM berdiri atas ‘halalan’ dan ‘toyyiban’ mengikut GMP
yang serius, termasuk menjaga kebersihan barangan semasa ia diproses
sehinggalah ia menjadi makanan dan dihidang di atas meja.
“Kalau terhindar daripada barangan haram iaitu ‘halalan’ tetapi aspek
‘toyyiban’ iaitu tempat proses produk itu tidak diyakini bersih dan
tidak memenuhi prosedur operasi standard (SOP) sijil halal, maka JAKIM
boleh tangguh atau menarik balik sijil tersebut. Bagi yang ditarik balik
mereka boleh pohon semula,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) yang
ingin tahu lebih lanjut mengenai penarikan sijil halal syarikat Secret
Recipe di Taman Mayang, Petaling Jaya.
Jamil Khir berkata syarikat itu yang mempunyai 297 buah rangkaian
kedai di seluruh negara perlu menitikberatkan soal kebersihan kerana
faktor itu amat diberi perhatian oleh pengunjung luar negara yang datang
ke negara ini.
Pada 7 Mei lepas, JAKIM menarik sijil pengesahan halal Syarikat
Secret Recipe Manufacturing Sdn Bhd kerana pelanggaran prosedur
pensijilan melibatkan kesalahan kebersihan dan Amalan Pengilangan Yang
Baik (GMP) yang serius.
Semalam, Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff
menjelaskan penarikan sijil itu bukan disebabkan kesalahan penggunaan
bahan haram dalam pemprosesan produk itu.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan),
Jamil Khir berkata pada masa kini sebahagian restoran dan kafe yang
beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan KLIA2 telah
memiliki sijil halal.
Beliau berkata di KLIA, sebanyak 15 daripada 62 premis makanan telah
memiliki sijil halal, manakala di KLIA sebanyak 12 daripada 66 restoran
dan kafe mempunyai sijil tersebut.
“Restoran dan kafe terutama restoran berangkai seperti Kenny Rogers,
Kentucky Fried Chicken, Marrybrown dan Starbucks merupakan pemegang
sijil pengesahan halal Malaysia dan dalam hal ini pengguna diajak
memainkan peranan untuk memilih tempat makan yang mempunyai sijil
halal,” katanya.
Berhubung cara mempamerkan sijil halal, beliau berkata setiap
syarikat dan pengusaha pemegang sijil pengesahan halal Malaysia yang
masih sah berhak untuk mempamerkan sijil dan logo halal pada premis dan
produk mereka.
“Berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan
Ketiga) 2014, sijil tersebut hendaklah dipamerkan pada setiap masa di
alamat yang dinyatakan pada sijil berkenaan,” katanya. – BERNAMA