TUJUAN utama Allah SWT menjadikan manusia ialah agar mereka mengabdikan diri kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku. (az-Zarriyat: 56)
Menyempurnakan Rukun Islam yang lima adalah satu ibadah terpenting kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, sembahyang adalah salah satu daripada Rukun Islam.
Sebagai rukun, maka setiap orang yang mengaku dirinya beragama Islam yang telah cukup umurnya wajiblah menunaikan sembahyang yang telah difardukan ke atas mereka. Sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya ia telah melakukan satu dosa besar.
Oleh sebab sembahyang merupakan satu rukun maka ia wajib dikerjakan walaupun dengan apa cara dan dalam apa keadaan sekalipun. Bagi mereka yang uzur atau sakit, ia diberi kemudahan untuk mengerjakannya mengikut kadar kemampuan, sama ada dengan duduk, berbaring (tidur), hatta dengan mata sekalipun.
Allah SWT memberi jaminan bahawa sesiapa yang bersembahyang maka ia akan selamat, baik di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah yang bermaksud:
Dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah itu lebih utama. (al-Ankabut: 45)
Sesungguhnya, sembahyang dalam Islam bukanlah sekadar ucapan–ucapan lisan dan menggerakkan anggota badan, tanpa ada merenung akal dan kekhusyukkan hati. Solat seperti ini tidak ubah seperti ayam yang mematuk atau burung yang berkicauan dan berlalu begitu sahaja.
Orang yang khusyuk dalam sembahyang akan meninggalkan segala lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Segala perhatian dalam sembahyang hendaklah tertumpu kepada mendiri dan menunaikannya dengan baik. Sembahyang dengan hati yang lalai, tanpa khusyuk adalah tidak memberi apa-apa manfaat sama sekali.
Khusyuk dapat dianggap sebagai vitamin bagi sembahyang. Makanan yang tidak ada vitamin tidak memberi apa-apa faedah kepada kita. Begitulah sembahyang yang tidak ada khusyuk. Ia adalah kosong dan tidak berpahala.
Dalam mengerjakan ibadat sembahyang, kita disuruh bercermat daripada segi lahir dan batin. Sesungguhnya sembahyang seseorang itu tidak akan dikira sempurna melainkan dengan melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekali gus.
Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa seseorang yang melakukan sembahyang dengan mengutamakan hakikat lahir tetapi tidak mengambil berat tentang hakikat batin, maka sembahyangnya itu dapat diibaratkan seperti seorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati kepada seorang raja.
Sebaliknya, seorang yang melakukan ibadat sembahyang dengan mengutamakan hakikat batin pula, dapat disamakan dengan seorang yang menghadiahkan raja seorang puteri yang kudung kaki tangannya dan buta pula matanya.
Oleh sebab hadiah yang diberikan itu tadi tidak bernilai sama sekali bagi raja, maka lumrahnya kedua-dua orang tadi akan dimurkai raja. Mereka akan diseksa dan diberi balasan yang setimpal oleh raja kerana menghina kedudukan dan mengabaikan baginda serta mengabaikan haknya.
Begitulah juga dengan ibadat sembahyang. Kedua-dua hakikat lahir dan batin hendaklah disempurnakan dengan cermat. Sesungguhnya tidak ada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT.
Kita juga tidak digalak melayani perasaan was-was. Sesungguhnya was-was dalam kesucian dan sembahyang itu adalah daripada hasutan syaitan. Syaitan sentiasa berusaha untuk mengelirukan orang yang cetek ilmu dan lemah imannya.
Ketika menghadap kiblat, orang yang sembahyang diarah memalingkan wajahnya mengarah ke rumah Allah semata–mata. Demikianlah juga dengan hati, ia tidak boleh menuju kepada Allah kecuali dengan memutuskan hubungan dengan selain-Nya.
Hati membohongi lisan
Ketika bertakbir, jangan sampai hati membohongi lisan. Apabila di dalam hati ada sesuatu yang lebih utama daripada Allah SWT, bererti kita telah berbohong.
Bacaan dalam sembahyang juga perlu diambil perhatian. Bacaan al-Fatihah, khususnya perlu dibaca dengan cermat. Semua baris panjang, pendek, tanwin dan sebagainya perlu dibaca dengan teliti. Orang yang mengabaikan surah ini, maka sembahyangnya akan ditolak oleh Allah SWT.
Oleh itu, tumpukan perhatian sepanjang pembacaannya. Rasakan kelembutan-Nya ketika membaca ar-rahman ar-rahim dan rasai keagungan-Nya ketika melafazkan malikki yaumiddin. Apabila membaca istiazah, sedarilah bahawa anda sedang meminta perlindungan kepada Allah SWT.
Begitulah juga ketika rukuk. Usahakan untuk bersikap tawaduk (rendah hati) dan tambahkan ketundukkan ketika sujud. Ingatlah kebesaran Allah SWT dan akuilah keagungan-Nya. Tanamkan rasa malu di hati kerana kekurangan yang kita lakukan dalam solat. Perlu ada perasaan bimbang sekiranya solat itu tidak diterima, bahkan dimurkai akibat dosa lahir ataupun batin.
Sesungguhnya amalan mendirikan sembahyang dengan penuh berhati-hati seperti tuntutan-Nya boleh membentuk satu budaya atau cara hidup supaya hidup dengan cermat.
Sembahyang yang didirikan dengan cermat akan merapatkan diri seseorang hamba itu dengan Allah Yang Maha Pencipta dan dapat mencegah diri daripada melakukan perkara larangan-Nya. (rujuk al-Ankabut: 45)
Dengan menghadirkan semua konsep di atas, hati kita akan menjadi bersih daripada karat hingga dapat menerima cahaya untuk melihat keagungan Allah SWT. Moga dengan berbuat demikian, sembahyang kita akan diterima Allah. Insya-Allah.
Sumber: Utusan