KUALA KANGSAR – Balairung Seri Istana Iskandariah sekali lagi menjadi
saksi detik bersejarah berlangsungnya Istiadat Tabal Pusaka semalam
sempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah XXXV di
sini.
Istiadat Tabal Pusaka, adalah upacara penyerahan 16 alat kebesaran
seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada
Sultan Nazrin Shah.
Upacara dimulakan dengan 16 jejawat perempuan membawa lilin masuk
mengambil tempat di Balairung Seri diikuti Bentara perempuan membawa
masuk Perkakas Istiadat Merenjis untuk diletakkan di atas meja khas di
kiri dan kanan tempat persemayaman.
Ia disusuli dengan Istiadat Membawa Masuk Perkakas Kerajaan yang
diketuai cucunda Almarhum Sultan Azlan Shah iaitu Yang Mulia Abdul Latif
Datuk Seri Mohd Salleh, yang juga anakanda saudara Sultan Nazrin Shah,
diikuti sida-sida dan biduanda-biduanda.
Kemudian jejawat-jejawat yang membawa masuk Lembing dan Payung Kerajaan mengambil tempat di Balairung Seri.
Suasana hening menyelubungi Balairung Seri sebaik Sultan Nazrin Shah
dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim melangkah masuk ke dalam
Balairung Seri diiringi paluan nobat.
Istiadat diteruskan dengan Abdul Latiff menghadap dan mempersembahkan
Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Perak yang kemudian meriba
pedang itu.
Raja Chik Muda Pawang Diraja Raja Rosli Raja Mohamad mengangkat
sembah pohon limpah perkenan Sultan Perak untuk memulakan istiadat
memulih perkakas kerajaan dan perkakas nobat diraja.
Kemudian Istiadat Merenjis Tepung Tawar dimulakan oleh Raja Rosli
yang merenjis tepung tawar Sultan Perak dan Raja Permaisuri, disusuli
terhadap perkakas kerajaan.
Sejurus itu sida-sida dan biduanda yang membawa perkakas kerajaan
bergilir-gilir menghadap Sultan Perak dan Raja Permaisuri, diikuti Toh
Setia Guna bersama Orang Kalor membawa masuk perkakas nobat menghadap
pasangan diraja itu.
Upacara merenjis tepung tawar diakhiri dengan bacaan doa dan Raja
Rosli menghadap serta mengambil Pedang Cura Si Manja Kini daripada
Sultan Nazrin Shah.
Kemudian Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara beredar ke kawasan Panca
Persada untuk memulakan Istiadat Bersiram Tabal. Seusai istiadat itu
pasangan diraja berangkat ke Bilik Kesenangan di dalam istana.
Istiadat Santapan Nasi Berastakona di Balairung Seri mengakhiri Istiadat Tabal Pusaka.
Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak kemudian berangkat ke
dewan santapan untuk menghadiri majlis santapan malam. – BERNAMA