KLANG – Setiap perdana menteri melakukan yang terbaik serta mempunyai
jasa dan sumbangan buat negara pada zaman masing-masing, kata Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa yang penting, (ialah) untuk kita lakukan yang terbaik dalam
zaman kita kerana sejarah akan menilai kita, dan saya berazam untuk
melakukan terbaik untuk rakyat,” katanya pada majlis ‘Sepetang bersama
Perdana Menteri’ anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor
dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, semalam.
Najib berkata: “Kita tahu jasa Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri
Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) kepada negara. Saya tidak boleh
kata (saya) lebih baik daripada (ayahanda) Abdul Razak (Perdana Menteri
Kedua Tun Abdul Razak Hussein) dan juga pemimpin-pemimpin lain yang
menjadi perdana menteri.”
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menganggap dirinya sebagai
perdana menteri yang terbaik berbanding lima perdana menteri sebelum
ini.
Najib mengulas kenyataan Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu
Hassan Omar dalam ucapan aluannya yang menganggap beliau sebagai perdana
menteri terbaik berbanding perdana-perdana menteri Malaysia sebelum
ini.
Turut hadir Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar serta kira-kira 2,000 orang tetamu.
Najib berkata beliau tidak mempunyai niat lain dalam menjalankan
tugasnya memimpin negara selain berusaha dengan terbaik untuk bersikap
telus kepada rakyat.
Malah, katanya usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi
Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membantu
dalam perkembangan ekonomi negara.
“Dari segi ETP dan GTP, kita telah capai kadar 6 peratus. Beberapa
negara boleh capai kadar itu? Kita boleh bilang dengan jari sebelah
tangan dan kita telah atasi banyak negara lain.
“Malah, sejak saya jadi perdana menteri, kadar penambahan GNI (ukuran
kekayaan negara) dalam tempoh lima tahun bertambah 49 peratus dan ini
bererti kekayaan negara kita telah bertambah,” katanya. – BERNAMA