Sepasang Kekasih Dari Pendang Dicekup, Disyaki Edar Dadah

Lelaki ini bersama kekasihnya ditahan kerana mencurigakan sebelum kegiatan pengedaran dadah mereka terbongkar.
JITRA - Kegiatan mengedar dadah sepasang kekasih akhirnya terbongkar apabila mereka enggan memberhentikan motosikal dinaiki ketika diarahkan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Jalan Taman Tunku Sarin, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, dua anggota URB Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kubang Pasu menahan suspek yang menunggang dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun menurutnya, suspek, 36, berasal dari Pendang bersama kekasihnya, 16, memecut motosikal untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan.

"Pemeriksaan dalam beg silang milik suspek menemukan sembilan paket plastik lut sinar disyaki berisi dadah.

"Tujuh daripadanya berisi ketulan putih disyaki heroin dengan anggaran berat 131 gram dan dua lagi berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat 5.01 gram," katanya.

Menurutnya, penahanan itu turut menemukan RM1,200 disyaki wang hasil jualan dadah yang diperoleh suspek.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif morfin, manakala kekasihnya positif syabu.

"Siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK); Seksyen 392 KK, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya; Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah," katanya.

Dua suspek terbabit ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952. -Sinar Harian