Tan Sri Shahrir Abdul Samad |
KUALA LUMPUR - Menteri Kabinet yang masih tidak memahami isu pelaburan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) meskipun keputusan bersama telah
diputuskan digesa untuk melepaskan jawatan.
Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad
menegaskan, Kabinet Malaysia berasaskan prinsip tanggungjawab bersama
dan mana-mana menteri yang masih enggan memahami isu tersebut dianggap
telah melanggari keputusan bersama itu.
"Prinsip Kabinet, prinsip tanggungjawab bersama dan keputusan yang diambil adalah keputusan kolektif dan tanggungjawab bersama.
"Pilihan kan ada, tiada siapa pun paksa jadi menteri... itu tak jadi
masalah, kalau ada menteri yang kata tak faham tapi keputusan telah
dibuat, boleh keluar lah (Kabinet)," katanya kepada pemberita di lobi
bangunan Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan veteran Umno, Tan Sri Tengku
Razaleigh Hamzah semalam yang mengatakan keseluruhan Kabinet perlu
dipertanggungjawabkan atas masalah yang dihadapi 1MDB dan bukannya
dibebankan kepada Perdana Menteri seorang sahaja.
Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, jika ahli
Kabinet tidak sedar mengenai isu 1MDB, mereka sepatutnya membuat
siasatan, bukannya menuding jari ke arah orang lain.
Mengulas lanjut, Shahrir juga berkata, jika ahli Kabinet masih tidak
memahami isu yang dihadapi 1MDB, mereka terbabit boleh berjumpa sendiri
dengan perdana menteri sehingga berpuas hati (keputusan Kabinet).
"Kita diberi peluang untuk berbincang dan bertanya sampai kita puas
hati. Kalau tak puas hati boleh pergi lagi sekali jumpa Perdana Menteri
tanya lagi dan tanya Menteri Kewangan.
"Jika ada menteri kata tak faham, cakaplah tak faham, tanyalah. Jangan
sampai tak reti nak tanya, prinsip dalam Kabinet kita ada tanggungjawab
bersama, kalau tak faham tanya lagi," ujarnya.
Ketika ditanya tentang kesahihan dakwaan Ku Li itu, beliau bagaimanapun hanya menyifatkan ia sebagai dakwaan semata-mata.
"Tak tahulah, itu dakwaan dia, mungkin ada menteri yang tak faham tak tahulah, tapi perbincangan pernah berlaku.
"Kalau sudah ada keputusan dan menteri kata tak faham lagi.. apa benda
yang tak faham? Saya anggap itu hanya dakwaan," katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian