KUALA LUMPUR – Gara-gara memiliki sebuah kereta curi milik jemaah
masjid, seorang siak dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret
Ampang, di sini, hari ini.
Majistret Zulyana Zollkapli menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad
Saney Mohamad Fahmy, 30, setelah dia mengaku bersalah memiliki kereta
jenis Perodua Alza milik Normah Abd Fatah, 60, yang juga merupakan
kenalannya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mei lalu.
Mohamad Saney didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Perkasa 4,
Taman Maluri, Cheras, di sini, pada 10.15 malam, 7 Mei lepas mengikut
Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara
maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh meminta mangsa menghantarnya ke pejabat
peguam bagi urusan insurans kenderaan dan semasa dalam perjalanan,
mangsa singgah di surau di Hospital Ampang untuk menunaikan solat
manakala tertuduh menunggunya di dalam kenderaan.
Bagaimanapun selepas wanita itu selesai menunaikan solat, dia
mendapati keretanya telah hilang dan dua hari kemudian polis menjumpai
tertuduh bersama kereta itu.
Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah
memohon hukuman paling minimum dengan alasan anak guamnya yang
merupakan anak yatim piatu dan tiada rekod kesalahan lampau itu, telah
insaf dengan perbuatannya.
Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah
menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kesulitan
mangsa yang kehilangan kenderaan selain memberi pengajaran kepada
tertuduh. – BERNAMA