Sikap Pasangan Faktor Utama Lambat Selesai Kes Cerai

KUALA LUMPUR – Sikap pasangan suami isteri yang tidak mematuhi perintah mahkamah menjadi antara punca kes penceraian lambat diselesaikan.

Ketua Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Siti Zubaidah Ismail berkata oleh itu pandangan yang menyalahkan pihak Mahkamah Syariah di atas kelewatan penyelesaian sesuatu kes penceraian, adalah tidak betul.

Beliau berkata pendapat itu dibuat berdasarkan kes kendaliannya selama 10 tahun dari 2000 hingga 2010.

“Misalnya bila mahkamah tetapkan tarikh sebutan atau perbicaraan, terdapat suami atau isteri yang tidak hadir pada tarikh tersebut. Ini menyebabkan kes lambat selesai,” katanya kepada media pada Forum Hak Asasi dan Peranan Mahkamah Syariah serta majlis pelancaran Klinik Guaman Syarie (KGS) di UM di sini semalam.

Tegasnya dalam kes di mana pihak isteri yang menfailkan perceraian, biasanya pihak suami yang sukar untuk hadir pada setiap kali kes dipanggil.

Begitu juga kes lambat diselesaikan jika pihak isteri menfailkan tuntutan yang melampau dan pasangannya pula tidak bersetuju dengan tuntutannya, kata Siti Zubaidah.

Ketua Hakim Syarie Malaysia, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut berkata sebanyak 11,000 kes cerai telah didaftarkan di seluruh negara sejak Januari hingga April tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, wanita yang banyak menfailkan perceraian berbanding lelaki, yang banyak melibatkan pasangan berumur 35 tahun ke bawah.

Katanya antara sebab wanita menfailkan perceraian ialah kerana sering dipukul, suami tidak memberi nafkah dan dianiyai oleh suami, katanya dan menambah para suami perlu lebih bertanggungjawab dan menghargai isteri mereka bagi mengelak penceraian.

Beliau berkata Mahkamah Syariah akan menyelesaikan tuntutan nafkah dalam kes penceraian, kurang daripada tiga tahun.

Ditanya berapa lama sesuatu kes penceraian dapat diselesaikan, Ibrahim berkata jika kedua-dua pihak sanggup bekerjasama, ia akan mengambil masa sehari sahaja, tetapi jika sebaliknya, ia boleh memakan masa lama.

“Ada kes di mana suami tidak mahu memberikan kerjasama, ia mengambil masa bertahun-tahun untuk kes penceraian mereka selesai,” katanya.

Mengenai KGS, beliau berkata klinik itu yang beroperasi di Akademi Pengajian Islam, UM sejak September 2014 memberikan nasihat secara percuma kepada pasangan suami isteri yang tidak arif mengenai prosedur syariah, sebelum mereka menfailkan permohonan cerai.

Beliau berkata KGS mendapat sambutan baik penduduk setempat dan berharap ia dapat dibuka di seluruh negara berikutan ramai lagi pasangan yang memerlukan khidmat di negeri lain.

Sementara itu Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil dari International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) memberitahu forum, kes liwat di negara ini tidak pernah didakwa di Mahkamah Syariah walaupun terdapat peruntukan mengenainya di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

“Mengikut pembacaan saya, kes liwat tidak pernah dibawa di Mahkamah Syariah, tetapi tertuduh didakwa di Mahkamah Sivil kerana hukumannya lebih besar atau kes akan menjadi lebih gah,” katanya yang membincangkan tajuk ‘Perluasan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah: Di mana dan Ke mana Hala Tuju’.

Beliau menjelaskan jika sesuatu kes liwat telah didakwa di Mahkamah Sivil, ia tidak boleh lagi didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan sama. – BERNAMA