Simpanan Dalam TH Dijamin Kerajaan, Tak Perlu Terpengaruh Hasutan Orang

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pendeposit Lembaga Tabung Haji tidak perlu bimbang dengan simpanan mereka di institusi itu kerana ia dijamin kerajaan.

Beliau menegaskan pendeposit tidak perlu terpengaruh dengan sebarang hasutan mana-mana pihak yang menyarankan mereka supaya mengeluarkan deposit mereka dari Tabung Haji.

“Jadi tidak berbangkit kalau ada mana-mana pihak yang cuba menghasut (supaya) pendeposit mengeluarkan simpanan mereka dari Tabung Haji.

“Kita mengambil maklum akan keputusan-keputusan yang telah dibuat dan Majlis Tertinggi (UMNO) telah membuat beberapa pandangan dalam perkara tersebut,” kata Najib yang juga Presiden UMNO pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib-naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta ketua-ketua sayap pergerakan parti itu.

Lembaga Tabung Haji sebelum ini dilaporkan membeli tanah milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang sedang dibangunkan yang menjurus kepada pelbagai spekulasi.

Tabung Haji kemudian membuat keputusan untuk menjual semula tanah tersebut dan setakat ini dilaporkan menerima tiga tawaran daripada pihak yang berminat membelinya.

Mengenai 1MDB, Najib berkata Majlis Tertinggi UMNO meminta siasatan oleh Ketua Audit Negara terhadap syarikat pelaburan itu dipercepatkan dan laporan siasatan itu dibentang untuk pengetahuan rakyat.

Katanya beliau berharap Ketua Audit Negara dapat membuat kenyataan tentang bila laporan tersebut boleh dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata Majlis Tertinggi juga mengharapkan tindakan-tindakan tegas diambil terhadap sesiapa yang didapati menyalahi undang-undang berdasarkanmlaporan hasil siasatan itu nanti.

Katanya, Majlis Tertinggi juga memberi sokongan kepada usaha untuk menyelesaikan masalah 1MDB.

“Beberapa anggota Majlis Tertinggi UMNO telah menawarkan pengalaman dan pengetahuan mereka untuk membantu menyelesaikan masalah 1MDB.

“Dalam pada itu, apa-apa langkah yang tegas yang boleh diambil maka atas nasihat Majlis Tertinggi, pihak kerajaan akan memberi pertimbangan dan kerajaan akan membuat keputusan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA