Skuad Stafoc Kedah Berkas Dua Saudara Miliki Pistol, Peluru Di Changloon

Skuad Stafoc bergelut memberkas salah seorang lelaki bersenjata di Changloon, semalam.
ALOR SETAR – Polis menahan dua bersaudara lelaki dan perempuan selepas pemeriksaan terhadap kenderaan dinaiki mereka menemui sepucuk pistol dan 11 butir peluru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, masing-masing yang berumur awal 50-an dan pertengahan 40-an itu ditahan di persimpangan lampu isyarat Changloon, semalam.

“Pada jam 3.10 petang, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman menahan sebuah kereta Honda Accord.

“Pemeriksaan dalam kereta itu menemui sepucuk pistol, satu kelopak kosong serta 11 butir peluru,” katanya.

Menurutnya, mereka yang berasal dari Perak dan Johor itu ditahan untuk membantu siasatan terhadap pemilikan senjata api terbabit.

“Kita masih menyiasat latar belakang kedua-dua tangkapan untuk melihat sama ada mereka terlibat dalam kes-kes jenayah lain.

“Kes disiasat menurut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (penalti lebih berat) kerana memiliki senjata api dan Seksyen 8a Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru tanpa permit,” katanya.

Sumber: Sinar Harian