Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disambut orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat Melana Indah di Taman Perling hari ini. - Foto BERNAMA |
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan
sokongan padu diberikan UMNO Johor terhadap kepimpinannya dilihat
sebagai peringatan untuk beliau terus menyelesaikan isu rakyat dan
negara secara berhemah dan bijaksana.
Najib, yang juga Presiden UMNO berkata beliau melihat sokongan
diberikan UMNO Johor bukan sokongan yang berbentuk membawa rebah tetapi
memberi keyakinan kepada pucuk kepimpinan.
“Kadang-kadang ada sokongan yang merebahkan tetapi sokongan orang
Johor memberikan peringatan kepada saya mengenai maklum balas isu yang
perlu diselesaikan.
“Orang Johor kata cuba selesaikan (isu) dalam jangka masa terdekat
supaya sokongan rakyat bertambah dan Insya-Allah, kita akan menang
sekali (pilihan raya umum ke-14 nanti),” katanya ketika berucap
merasmikan majlis penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah,
di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata selain Sabah, UMNO Johor juga sentiasa
memberi sokongan berdasarkan permuafakatan anggota parti dan kesetiaan
kepada kepimpinan tertinggi parti, menyebabkan ia terus menjadi tulang
belakang kepada negara dari segi politik.
“Saya anggap sokongan ini memberi keyakinan kepada kepimpinan … kita
tengok lipatan sejarah, setiap kepimpinan tidak sunyi dengan cabaran
besar yang mesti diselesaikan.
“Namun,penyelesaian hendaklah mengikut kebolehan dan kebijaksanaan
pemimpin mdan diberi sokongan, baru sebarang krisis mampu ditangani,”
katanya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan yang beliau sebagai pemimpin
yang bertindak sebagai ‘nakhoda bahtera’ negara, tidak akan bertukar
haluan meskipun dilanda ‘taufan’.
Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam
ucapannya menegaskan UMNO Johor sentiasa bersama-sama Perdana Menteri
dalam mengharungi pelbagai kemelut dan cabaran yang timbul ketika ini.
“Saya mewakili UMNO Johor mengambil kesempatan untuk memberitahu
dalam mesyuarat (Badan Perhubungan) semalam, kami menzahirkan sokongan
sepenuhnya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Semoga sokongan ini menjadi kekuatan kepada beliau (Najib) untuk
berhadapan dan menyelesaikan pelbagai isu yang sedang dihadapi negara,”
kata Mohamed Khaled yang merupakan pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Johor.
Turut sama menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan Najib ialah
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk
Abdul Rahman Dahlan.
Ketika berucap pada majlis yang sama, beliau berkata kunci kepada
penyelesaian setiap masalah adalah perpaduan dalam kalangan anggota UMNO
serta kesetiaan mereka kepada kepimpinan parti.
Tanpa formula yang mujarab itu, pemimpin tidak akan dapat memajukan
negeri atau negara dek kerana tiada kestabilan, kata Abdul Rahman, yang
juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan Setiausaha Barisan Nasional
Sabah.
“Saya mengambil contoh, pada tahun 1990-an keadaan politik di Sabah
sedang bergelora … politik Bumiputera berpecah-belah, suara kami tidak
bersatu.
“Tetapi sebaik UMNO masuk dan membawa formula agar sentiasa bersatu
serta setia kepada kepimpinan parti, perpaduan Sabah akhirnya dapat
distabilkan dan daripada perpaduan itu, Sabah kuat dan terus menjadi
tulang belakang Barisan Nasional,” jelas Abdul Rahman.
Semalam, Najib mengadakan perjumpaan tertutup dengan anggota Badan Perhubungan UMNO Johor yang berlangsung lebih dua jam.
Perjumpaan itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein dan dua anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk
Aziz Kaprawi dan Datuk Razali Ibrahim. – BERNAMA