Gambar Hiasan |
KETIKA usia kanak-kanak, ibu bapa yang prihatin pastinya akan memarahi sehingga mengenakan denda atau hukuman jika kita melakukan sesuatu kesalahan atau mengabaikan arahan mereka, terutamanya berkaitan ibadat fardu.
Bukan bererti membenci, tetapi tindakan yang dibuat adalah untuk mendidik dan membentuk anak-anak bagi mengikuti peraturan dan tunjuk ajar sebagai pengajaran bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.
Ini juga merupakan kasih sayang ibu bapa kepada anak, selain menjadi tanggungjawab mereka membentuk anak-anak supaya menjadi insan yang patuh kepada perintah yang membabitkan hukum agama.
Justeru, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut berkata, tindakan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mengenakan tindakan terhadap umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut adalah pelaksanaan yang relevan.
Tegasnya, itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah Allah SWT menerusi pelaksanaan undang-undang.
Tindakan itu juga, secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat.
“Setelah hampir puluhan tahun memberi peringatan menerusi pelbagai medium termasuk bertulis, lisan dan sebagainya, ternyata ramai dalam kalangan umat Islam yang masih tidak mengendahkan amaran untuk melaksanakan perintah Allah SWT itu.
“Tindakan yang dikenakan itu bertepatan dengan hadis Nabi SAW bermaksud:
Sesiapa daripada kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)
“Justeru, penguatkuasaan ini menunjukkan pihak berkuasa sebagai ulul amri (pemerintah) yang sayang kepada rakyatnya daripada mendapat kemurkaan Allah SWT dan dikhuatiri berlanjutan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tanda amaran
Perkara itu tambahnya, sebagaimana amaran yang dinyatakan oleh Nabi SAW bermaksud:
“Siapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa darurat, maka ditulis sebagai munafik.” (riwayat al-Tabrani)
Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), baru-baru ini telah memaklumkan umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 bermula 1 Jun ini.
Mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Noh berkata, penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah.
“Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya,” ujarnya.
Kualiti khutbah
Dalam pada itu, Noh berkata, majlis agama Islam juga perlu sentiasa melakukan perubahan mengikut peredaran semasa bagi menarik umat Islam hadir melaksanakan solat Jumaat bukan kerana paksaan.
“Sebagai contoh, anak-anak muda yang bersuara lantang boleh dilantik menjadi khatib. Manakala dalam aspek pengisian pula hendaklah menarik, yang menyentuh dan mempunyai hubungan dengan masyarakat seperti ceramah yang mendapat sambutan ramai.
“Ini sekali gus menarik umat Islam untuk pergi solat Jumaat secara sukarela tanpa perlu penguatkuasaan undang-undang,” jelasnya.
Bagaimanapun Noh berkata, kempen dan kesedaran perlu diteruskan dan diperkasa lagi supaya selari dengan tindakan undang-undang yang diambil.
“Bermula pada peringkat sekolah rendah lagi, penekanan mengenai kepentingan solat, melaksanakan perintah Allah SWT perlu diterapkan, supaya kesedaran itu bermula dari peringkat awal.
“Ia juga perlu selari dengan penguatkuasaan yang diambil setelah melakukan pelbagai kempen kesedaran lain kepada umat Islam,” katanya. -Utusan