ALOR SETAR - Mana-mana premis perniagaan yang menghalang pekerja lelaki
beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat akan dikenakan tindakan
undang-undang.
Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit kerana ia merupakan satu kesalahan besar.
“Orang ramai perlu membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Kedah
(Jaik) sekiranya terdapat syarikat atau premis perniagaan yang menegah
pekerjanya daripada menunaikan solat Jumaat.
“Hal ini kerana menjadi hak orang Islam menunaikan solat Jumaat dan
menjadi kesalahan sekiranya mereka menghalang untuk berbuat demikian,”
katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam perkara itu adalah amat diharapkan dan maklumat pengadu akan dirahsiakan.
“Kita akan buat siasatan terperinci selepas menerima aduan orang ramai atau pekerja itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, mengulas cadangan Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful
Hazizy Zainal Abidin supaya premis perniagaan di negeri ini ditutup
selama dua jam pada waktu solat Jumaat, beliau menyambut baik hasrat
itu.
“Cadangan itu bagus, mungkin kita boleh bawa ke mesyuarat Majlis Agama Islam Kedah (Maik) dan Jaik.
“Tentang menahan individu tidak menunaikan solat Jumaat memang sudah
lama terdapat dalam peruntukan undang-undang, cuma sedikit masalah dari
segi penguatkuasaan sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, Shaiful Hazizy mencadangkan supaya Kedah membuat persediaan
rapi sebelum menguatkuasakan tindakan saman kepada mana-mana lelaki yang
tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut, bermula 1 Jun
depan.
Menurutnya, arahan mewajibkan semua premis ditutup selama dua jam pada
waktu solat Jumaat adalah wajar dilaksanakan terlebih dahulu.
Pada 11 Mei lalu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaik, Syeikh Ahmad
Faisol Omar mengumumkan lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat
tiga kali berturut-turut akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau
penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan itu, Jaik tidak melakukan tangkapan, sebaliknya
mengeluarkan notis saman atau hadir ke pejabat agama daerah untuk disoal
siasat.
Sumber: Sinar Harian