Solat Jumaat: Semua Umat Islam Di Kedah Jadi Pengintip JAIK

ALOR SETAR - Semua umat Islam di negeri ini wajar bertindak sebagai pengintip kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam soal mengesan lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut.

Presiden Majlis Ulama Muda Parlimen Baling (Maulana), Mohd Zaki Zainol berkata, pendekatan itu adalah bagi membantu lebih 1,200 pengintip Jaik dalam melaksanakan penguatkuasaan terbabit.

“Maulana menyambut baik usaha Kerajaan Kedah untuk melaksanakan hukuman saman kepada mana-mana lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut tanpa keuzuran pada syarak.

“Justeru, Maulana mengajak semua umat Islam di negeri ini supaya dapat membantu pihak pengurusan kariah masjid dan pengintip Jaik bagi menyalurkan maklumat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama semua amat diharapkan supaya dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat.

“Saya harap semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan rakyat negeri ini juga dapat terus memperkasa enakmen ini dengan memberi penerangan secara berterusan,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaik, Syeikh Ahmad Faisol Omar mengumumkan mana-mana lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat tiga kali berturut-turut bakal didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan itu, Jaik tidak melakukan tangkapan, sebaliknya mengeluarkan notis saman atau hadir ke pejabat agama daerah untuk disoal siasat.

Sumber: Sinar Harian