KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana
Banjir yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) menerima sebanyak 286 panggilan berhubung salah laku dan
penyelewengan bantuan banjir yang melanda negara akhir tahun lalu.
Penyelarasnya yang juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM,
Datuk Mustafar Ali berkata, sebanyak 39 daripada panggilan tersebut
adalah aduan berkaitan rasuah dan penyelewengan dana bantuan banjir
kepada para mangsa.
“Tindakan-tindakan telah diambil mengikut Akta SPRM 2009. Peranan
jawatankuasa ini telah membantu menyelamatkan dana banjir daripada
dituntut atauditerima oleh mangsa-mangsa yang tidak layak,” katanya
dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafar berkata, Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana
Banjir mengenal pasti tiga isu dan masalah utama termasuk pendaftaran
nama mangsa banjir tidak lengkap dan syarat permohonan yang tidak jelas
mengelirukan pemohon.
Katanya, sebagai contoh permohonan penduduk tetap, had umur
permohonan, status pemohon yang tinggal sebumbung dengan ahli keluarga
yang lain, takrifan ketua keluarga.
Menurutnya, antara masalah lain adalah kekeliruan mengenai
penyelarasan dan pengagihan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan
peruntukan kerajaan.
Kata beliau, jumlah keseluruhan sebenar dana yang berjaya dapat
diselamatkan masih belum dapat dimuktamadkan memandangkan pengagihan
bantuan masih lagi berjalan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini, seramai 100 mangsa banjir di
Kelantan tidak mengambil wang ihsan RM500 apabila mangsa diminta mengisi
borang ikrar yang disediakan oleh SPRM mengikut Seksyen 18 Akta SPRM
2009.
“Masih terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam urusan
sistem dan prosedur berhubung dengan pengagihan bantuan wang ihsan
banjir.
“Sehubungan itu, SPRM bersama-sama dengan jabatan dan agensi
berkaitan akan mewujudkan dan menambah baik garis panduan berkaitan
pengurusan dana terbabit selain mengadakan pangkalan data mengenai
butiran penduduk setempat,” katanya.
Jelasnya, penambahbaikan sistem berkenaan boleh digunakan kerajaan
bagi tujuan pengagihan dana dan tabung lain pada masa akan datang
termasuk sekiranya berlaku bencana serta tujuan-tujuan lain.
Selain itu, katanya. operasi Bilik Gerakan Jawatankuasa Integriti
Pengurusan Tabung dan Dana Banjir akan dihentikan bermula hari ini namun
semua aduan atau maklumat daripada orang ramai akan diterima terus oleh
SPRM.
“Orang ramai boleh menghubungi mana-mana pejabat SPRM terdekat jika
membabitkan elemen rasuah atau penyelewengan, dan juga mana-mana Pejabat
Majlis Keselamatan Negara terdekat berhubung soal dan urusan pengagihan
dana banjir,” jelasnya.
Sumber: Mynewshub.cc