Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah dibebaskan dari tuduhan bunuh |
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan
suami kepada eksekutif pentadbiran TV9 Nur Syaleza Jaffar, daripada
tuduhan membunuh wanita itu tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan sedemikian selepas berpuas
hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes
pendakwaan.
Beliau berkata kecurangan suami mangsa, Norazman Bashah Ahmad Azam
Bashah, 34, adalah punca Nur Syaleza menjadi murung sehingga menyebabkan
wanita itu bertindak membunuh diri.
Norazman Bashah didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka
di Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya,
antara 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.
Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak
itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan
hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar dan
T. Deepa Nair manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Sutris
dan Shah Rizal Abdul Manan.
Sebanyak 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan. – BERNAMA