Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) |
KUALA LUMPUR – Seramai 24 juta penumpang menggunakan Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sejak ia dibuka, persidangan Dewan
Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi juga berkata
skor kepuasan pelanggan menunjukkan penumpang sangat berpuas hati dengan
kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di KLIA2.
“Berdasarkan kajian Airport Service Quality oleh Airport Council
International (ACI) bersama MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad),
skor kepuasan pelanggan adalah 4.85 daripada 5.0,” katanya menjawab
soalan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (PKR-Kuala Terengganu).
Raja Kamarul mahu kementerian menyatakan sebab KLIA2 sehingga kini
masih memerlukan begitu banyak penambahbaikan setelah kos pembinaannya
naik dari RM2 bilion sehingga RM4 bilion dan punca utama perkara
tersebut berlaku.
Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata MAHB telah membelanjakan sebanyak
RM14 juta sejak Mei 2014 untuk kerja-kerja penambahbaikan di kawasan
‘apron’ KLIA2 termasuk kerja-kerja mengatasi mendapan.
Beliau berkata keluasan lokasi yang terlibat dengan mendapan ialah
23,900 meter persegi atau tiga peratus daripada kawasan apron yang
seluas kira-kira 700,000 meter persegi.
“Jumlah ini berkurangan bulan demi bulan apabila kawasan tersebut
mencapai tahap mendapan yang dijangkakan. Ini biasa bagi mana-mana
pembinaan di kawasan tanah lembut yang dibuat secara cepat tanpa
menunggu tanah mencapai keadaan mendapan maksimum yang memakan masa
antara lima hingga 10 tahun,” katanya.
Ab Aziz menjelaskan mendapan hanya berlaku di kawasan apron dan bukan
di landasan serta ia tidak pernah menjejaskan operasi penerbangan.
Menjawab lanjut, katanya kerja-kerja tambahan telah dilaksana bagi
memenuhi keperluan dan keselesaan pengguna antaranya tambahan ‘walkator’
dan ‘buggy.’
“Jumlah walkator adalah 13 unit semasa majlis pelancaran dan tiga unit lagi ditambah pada penghujung tahun lalu.
“Pada tahun ini pula, sebanyak 16 unit walkator akan ditambah dan
bagi tujuan itu MAHB telah menyediakan peruntukan berjumlah RM31 juta,”
katanya. – BERNAMA