IPOH – Sultan Nazrin Shah Almarhum Sultan Azlan Shah diputerakan pada
27 Nov 1956, dan baginda merupakan seorang yang bijaksana, merendah
diri serta berjiwa rakyat.
Dalam hierarki Kesultanan Negeri Perak, Sultan Nazrin Shah dimasyhur
sebagai Raja Kecil Besar Perak pada 16 Feb 1984 dan Raja Muda Perak pada
15 April 1987.
Mengikut sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil
Besar Perak adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda
sebelum dilantik menjadi Sultan.
Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.
Bagaimanapun, pada 1987, apabila Raja Muda Perak iaitu Raja Ahmad
Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja
Abdul Malik, 80, yang ketika itu Raja Di-Hilir, telah memberi laluan
kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.
Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong,
Sultan Nazrin Shah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989
hingga 1994.
Selepas kemangkatan Sultan Azlan Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara
Perak mencapai kata sepakat memilih Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan
Perak ke-35 dan baginda dimasyhur sebagai Sultan pada 29 Mei 2014.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur
sehingga darjah 5, baginda melanjutkan pelajaran dari darjah 6 hingga
tingkatan 2 di St John Institution dan pada usia 13 tahun, Sultan Nazrin
Shah berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di Leys
School, Cambridge.
Baginda kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford.
Sekembalinya dari luar negara, Sultan Nazrin Shah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana
dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti
Harvard diikuti Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik, Ekonomi dan
Kerajaan dari universiti sama.
Sultan Nazrin Shah merupakan Felo Kehormat Worcester College,
Universiti Oxford dan juga Magdalene College, Universiti Cambridge; Ahli
Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford; Felo Diraja
Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Felo Diraja Institut
Kajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Felo Diraja
Institut Keselamatan Awam Malaysia dan Penaung Diraja kepada Pusat
Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia.
Baginda baru-baru ini juga berkenan menerima jemputan Setiausaha
Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon untuk mengambil
tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan PBB.
Baginda turut diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong dilantik sebagai Canselor keempat Universiti Malaya berkuat kuasa
16 Julai 2014.
Pada 14 Ogos 2014, Sultan Nazrin Shah telah berkenan menjadi Kolonel
Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang
Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.
Baginda telah diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei
2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzaffar Shah pada 14
Mac 2008 dan seorang puteri, Raja Nazira Safya pada 2 Ogos 2011. –
BERNAMA