KUALA KANGSAR – Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku
Zara Salim hari ini berangkat menziarah 10 makam sultan terdahulu dan
satu batu peringatan bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV.
Pasangan diraja itu tiba di lokasi Batu Peringatan Sultan Mansur Shah
I, yang merupakan Sultan Perak kedua, di Masjid Kota Lama Kanan kira
kira 9 pagi.
Sejurus selepas itu, majlis tahlil dan bacaan doa selamat diadakan dengan dipimpin oleh Imam Masjid Kota Lama Ismail Nordin.
Sultan Nazrin Shah turut menunaikan solat sunat di masjid berkenaan
dan pasangan diraja itu dilihat memegang Batu Peringatan Sultan Mansur
Shah I.
Mengikut sejarah Perak, Sultan Mansur Shah I ghaib ketika solat
Jumaat di masjid itu dan penduduk setempat mempercayai baginda sudah
mangkat.
Sultan Mansur Shah I tidak mempunyai makam dan batu peringatan itu diletak dalam masjid berkenaan bagi memperingati baginda.
Pasangan diraja itu kemudian menziarah makam Sultan Ali Al Mukammal
Inayat Shah yang merupakan Sultan Perak ke-24 di Gedong Siam, Sayong dan
makam Sultan Yusuf Sharifuddin Mudzafar Shah (Sultan ke-27) di Masjid
Sayong Tengah.
Pada sebelah petang, Sultan Nazrin Shah dan Tuanku Zara berangkat
menziarah makam-makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II (Sultan ke-26),
Sultan Idris Murshidul’adzam Shah 1 (ke-28), Sultan Abdul Jalil
Karamatullah Shah (ke-29), Sultan Iskandar Shah (ke-30), Sultan Abdul
Aziz Almustasim Billah Shah (ke-31), Sultan Yussuff Izzuddin Shah
(ke-32), Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Allahi Shah II (ke-33) dan
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (ke-34).
Kesemuanya di Makam Diraja Bukit Chandan, atau dikenali sebagai Makam
Diraja Al-Ghufran, yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah.
Baginda berdua menyiramkan air mawar serta menaburkan bunga ke atas
makam-makam berkenaan, selain diadakan majlis tahlil dan doa selamat. –
BERNAMA